- Iklan -
Berita

SPRM dakwa 2 ahli perniagaan kes kemuka dokumen palsu lebih RM750,000

Mereka dituduh memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan borang pengesahan palsu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mereka mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu dan enam pertuduhan di hadapan hakim Rozilah Salleh.
Mereka mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu dan enam pertuduhan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM756,980.

Pengurus Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, dan pemilik Perusahaan RR Sinergi Enterprise, Muhammad Aliff Abdul Rashid, 36, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu dan enam pertuduhan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Muhammad Asyraf didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat Bmine Enterprise bertarikh 20 Mei 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program itu berjumlah RM42,800.

Bagi Aliff pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama atas nama Perusahaan RR Sinergi Enterprise bertarikh 20 dan 21 Mei serta 4 September 2021 kepada beberapa pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM714,180.

Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja dua syarikat berkenaan. 

Asyraf didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkeso, Wisma Perkeso Petaling Jaya pada 22 Mac 2021 manakala Muhammad Aliff di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Rawang, pada 12 Jun dan 14 September 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin memohon Muhammad Asyraf dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala bagi Muhammad Aliff, RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Asyraf yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga selain dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan serupa, manakala Muhammad Aliff yang diwakili peguam Ahmad Naqib Azhar memohon jaminan rendah selain memberi kerjasama baik kepada pihak SPRM.

Rozilah membenarkan Muhammad Asyraf diikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin, manakala Muhammad Aliff, RM50,000 serta seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan yang dimohon pendakwaan. 

Mahkamah menetapkan 13 dan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi