- Iklan -
Berita

Hishammuddin persoal label pengkhianat terhadap 10 ahli Parlimen Umno

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata tiada sebarang kesalahan yang menuntut permintaan maaf terutama ketika dituduh mengkhianati perjuangan parti.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Pemimpin Umno Hishammuddin Hussein menyambut baik kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa dirinya bersedia memaafkan 10 ahli Parlimen parti yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun mempersoalkan label dan tuduhan “pengkhianat” terhadap mereka.

Menurut ahli Parlimen Sembrong itu, tiada apa yang perlu “dimaafkan” terutama apabila dituduh mengkhianati perjuangan parti kerana tuduhan tersebut tidak jelas dan beliau sendiri tidak mengetahui sebab dan punca label tersebut.

“Kalau mereka nak ambil tindakan ambillah, tak ada benda yang saya perlu bimbang kerana kita konsisten," tambah Hishammuddin yang merupakan antara pemimpin kanan Umno lantang mengkritik perbincangan antara Zahid dan Pakatan Harapan selepas pilihan raya.

“Sebelum ini kerana peringkat awal usaha nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan pendirian parti sendiri, kita buat SD berkenaan. Tetapi bila parti sudah buat keputusan kita berkecuali pada satu ketika dahulu, (jadi) bahaya kita tarik balik SD berkenaan.
 
“Dan selepas itu bila tuanku titah kita setuju wujudkan kerajaan perpaduan, kita pun anggap itu kehendak parti. (Oleh itu) kita setuju, jadi di mana penghianatannya?” katanya kepada pemberita selepas selesai ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
 
Bercakap kepada media semalam, Zahid menegaskan dia akan memantau 10 ahli Parlimen Umno itu dari masa ke masa bagi melihat pendirian mereka atau apa-apa tindakan yang boleh diambil kemudian.
 
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata semua pihak terutamanya para pemerhati di luar parti sudah mual dan bosan dengan cara kepimpinan Umno bertelagah kerana saling menuduh sesama sendiri.
 
Sedangkan, katanya, tumpuan utama perlu diletakkan kepada hala tuju parti terutamanya bagaimana untuk berdepan dengan siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
 
“Kita sudah kalah dalam PRU, saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.
 
“Itu lebih baik dari hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran (dan) berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita. Sedarlah cukup cukuplah.”
 
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kebarangkalian beliau bertanding pada pemilihan parti tahun ini, Hishammuddin enggan mengulas lanjut. 

Katanya, lebih baik menunggu ketetapan daripada persidangan PAU yang menentukan ada pemilihan ataupun tidak.
 
Jelasnya, beliau sendiri tidak keberatan untuk bertanding dalam pemilihan yang akan datang.

“Kena tunggu, ada pertandingan atau tidak.”
 
Pada Rabu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memberitahu pemilihan semua peringkat Umno yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan sebelum 19 Mei tahun ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.