Kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan saman keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu pada 2006.
Kerajaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan Isnin lepas manakala Abdul Razak pada Selasa lalu.
Peguam Harshaan Zamani yang mewakili keluarga model itu ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima salinan notis rayuan berkenaan.
"Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 April ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin," kata peguam itu.
Ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal selaku plaintif memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 dengan menamakan dua bekas pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Pada 16 Disember tahun lepas, hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang kini hakim Mahkamah Rayuan membenarkan saman itu dan memerintahkan defendan bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan RM5 juta kepada keluarga berkenaan.
Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.
Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.