- Iklan -
Berita

Perihal hubungan bomoh dan ahli politik

Individu yang mengetahui amalan tersebut di Malaysia memberitahu ahli politik 'bermain' dengan bomoh mengikut hierarki.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Negara pernah digemparkan dengan berita kematian ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Pahang, Mohd Mazlan Idris yang dibunuh oleh pasangan bomoh Mona Fandey dan suaminya Mohamad Nor Affandi Abdul Rahman pada Julai 1993 selepas dilaporkan hilang seminggu dari kediamannya.

Diberitakan Mazlan mendekati pasangan bomoh tersebut untuk mendapatkan bantuan “ghaib” bagi meningkatkan peluang kerjaya politiknya.

Beliau kemudian dipercayai bersetuju untuk mengambil bahagian dalam satu ritual ilmu hitam di rumah bomoh berkenaan.

Mazlan diminta baring di lantai sambil menutup mata sementara menunggu duit “jatuh dari langit.”

Malangnya, tiada wang yang jatuh sebaliknya sebilah kapak memancung kepalanya.

Mayatnya dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di kawasan rumah Mona di Pahang.

Apabila difikirkan secara rasional, idea tentang “tilik nasib”, “tangkal” dan “azimat” mungkin kelihatan bodoh dan tidak masuk akal.

Namun sejarah manusia menunjukkan ramai yang membuat keputusan penting dalam kehidupan berdasarkan kepercayaan karut itu.

Tidak terkecuali, ahli politik. Malah, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia seperti kes pembunuhan Mazlan.

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang selama ini hanya meletakkan kepercayaan ke atas kemampuannya sendiri dikatakan meletakkan secubit garam di bahunya setiap kali lepas makan.

Mengapa? Mungkin hanya Trump yang tahu.

Selepas 30 tahun tragedi pembunuhan Mazlan yang menyaksikan hukuman mati terhadap pasangan suami isteri Mona dan Nor Affandi masih terdapat pihak yang meletakkan tangkal, azimat dan tilik nasib melebihi kemampuan sendiri.

Pada 2019, ahli perniagaan Deepak Jaikishan mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor percaya kepada amalan ilmu hitam.

Dalam satu wawancara, beliau mengakui terlibat dalam proses tersebut dan mendakwa Rosmah amat percaya kepada amalan tersebut.

Katanya, di kediaman rasmi perdana menteri Seri Perdana, pasangan suami isteri itu memuja patung bertujuan menjadikan orang menghormatinya.

Seorang bekas pegawai polis cawangan khas yang memerhati pergerakan parti-parti politik di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya selama 17 tahun menyifatkan ahli politik sebagai golongan yang paling taksub dengan kepercayaan tahyul seperti bomoh dan dukun.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau yang mahu dikenali sebagai “R” memberitahu, ahli-ahli politik di Malaysia “bermain” dengan bomoh mengikut kelas dan pangkat masing-masing.

Ini bermaksud, mereka yang hanya berpangkat rendah dalam parti kebiasaannya berjumpa dengan bomoh bertaraf rendah.

“Semakin tinggi kedudukan orang itu dalam parti politik atau kerajaan, semakin banyak bomoh dan dukun yang dia sudah kenal dan jumpa.

“Ada juga ahli politik yang melancong sampai ke luar negara untuk berjumpa dengan bomoh-bomoh mereka.

“Bayaran tidak pasti, tetapi puja (bomoh) sudah tentu,” katanya sambil menambah situasi itu berlaku merentas kaum, agama, umur dan parti politik.

R memberitahu, hasil risikan selama berbelas tahun di cawangan tersebut mendapati ahli politik menggunakan khidmat bomoh untuk mendaki tangga dalam kerjaya politik selain mengenal pasti kelemahan pihak lawan atau personaliti yang dianggap pencabar utama.

“Thailand, India dan Indonesia menjadi negara-negara tumpuan untuk cari bomoh dalam kalangan ahli politik.

“Tidak percaya? Tanya sesiapa sahaja dalam parti politik, sama ada mereka marah atau mereka akan tanya kembali, mana awak tahu?” katanya.

Jelas R, puak-puak itu berasa lebih yakin dan percaya diri selepas mendapatkan “rawatan” daripada bomoh dan dukun-dukun tersebut.

“Kita nampak mereka pergi bercuti tetapi sebenarnya pergi berubat. Itu biasa dalam politik. Saya fikir mana-mana ahli politik ada minat terhadap benda ini.”

Bacaan psikologi menyebut soal kemenangan dan kemakmuran selalunya tidak bergantung kepada merit individu semata-mata.

Justeru, banyak peristiwa yang menyaksikan mereka yang tidak layak gagal, masih tidak berjaya dalam kehidupan atau perniagaan yang dilakukan.

Manakala mereka yang sepatutnya kalah, boleh maju dalam hidup.

Ini menjadikan ramai yang terdorong untuk mempercayai elemen tahyul seperti “tuah’, “tangkal” dan “azimat”.

“Walaupun tiada apa-apa yang istimewa secara jelas dan objektif tentang tuah, ‘lucky charms’ (azimat) nampaknya berkesan bagi mereka yang percaya,” tulis Maia Young, seorang profesor di UCLA Amerika Syarikat mengenai kajiannya untuk memahami mengapa sebilangan besar orang akan memilih untuk mempercayai kuasa yang tidak dapat dilihat dari pandangan mata kasar berbanding kebolehan diri sendiri.

Kajian yang dijalankan pada 2016 itu menegaskan tuah adalah sesuatu yang sangat subjektif.

Young juga menjelaskan, individu tampil lebih yakin melakukan tugasan dengan lebih baik apabila mereka mempunyai azimat bertuah atau pendinding dengannya.

"Apabila orang melihat diri mereka sebagai bertuah, mereka lebih cenderung untuk memilih dan bertahan dalam tugas yang mencabar," kata Young.

Seorang sumber dalaman parti politik berpangkalan di Selangor bersetuju dengan dapatan kajian tersebut.

“Bila (pemimpin parti) datang sakit kepala, mulalah mereka bertukar mood jadi pemarah dan tidak senang duduk.

“Selepas pulang dari bercuti, terus berubah. Kami tahu, mesti baru balik dari berdukun,” katanya dengan syarat tidak dinamakan.

Katanya, perjumpaan-perjumpaan dengan bomoh dan dukun tidak lagi menjadi sesuatu yang rahsia sejak beberapa tahun kebelakangan ni kerana ahli-ahli politik sendiri yang tersilap langkah sehingga menyebabkan ramai pihak menyedari perkara itu.

Pertama, katanya, ahli-ahli politik selalu menjemput ketua-ketua kumpulan dukun menghadiri upacara.

Mereka sering kali berselindung di sebalik nama “tokoh agama” atau ketua jemaah sesuatu kumpulan sedangkan hanya satu puak yang menjalankan ritual ilmu ghaib.

“Itu tak termasuk lagi viral gambar-gambar dan video yang tersebar tunjukkan ahli politik bawa bomoh pergi rumah, dia pergi rumah bomoh, yang saling cium tangan pun ada.

“Bomoh cium tangan dia, dia cium tangan bomoh. Dua-dua pun bermasalah nampaknya.”