- Iklan -
Berita

3.8 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sepanjang cuti Tahun Baru Cina

LLM mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan kelancaran termasuk mengadakan Op Selamat dan Op Bersepadu bersama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pandangan dari udara aliran trafik di plaza tol Mines menghala ke utara di Lebuhraya Sungai Besi.
Pandangan dari udara aliran trafik di plaza tol Mines menghala ke utara di Lebuhraya Sungai Besi.

Sebanyak 3.8 juta kenderaan dijangka berada di atas lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baru Cina bermula hujung minggu ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata dalam usaha memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna pada tahap tertinggi sepanjang tempoh berkenaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya, mengadakan kerjasama dengan polis menerusi Op Selamat yang bermula Jumaat lepas serta Op Bersepadu yang akan dilancarkan esok bersama Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Pengoperasian LLM dan syarikat konsesi juga akan dipertingkatkan kepada 24 jam dengan menambah kakitangan bertugas melibatkan anggota peronda, petugas di plaza tol, anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) serta anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

“Kita juga akan pastikan sistem kutipan tol berfungsi sebaiknya selain menambah lorong bagi mengurangkan kesesakan di plaza tol, ” katanya pada sesi temu ramah bersama Bernama Radio di Wisma Bernama di Kuala Lumpur hari ini. 

Selain itu, katanya jentera kembali turut disediakan di beberapa lokasi terpilih untuk membantu pengguna lebuh raya jika terjadi sebarang kemalangan.

Menurutnya semua syarikat konsesi lebuh raya juga akan menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, bermula Jumaat ini sehingga Rabu depan bagi mengelak gangguan aliran trafik.

“Kementerian Kerja Raya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya yang akan dilancarkan esok,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata sebanyak  4,379 korban nahas jalan raya direkodkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga September tahun lalu melibatkan 402,626 kes kemalangan.

“Ia merupakan peningkatan sebanyak 36 peratus atau 147, 094 kes kemalangan berbanding tempoh sama pada 2021,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.