- Iklan -
Berita

Peluang Umno dalam PRN makin sukar selepas tak pertandingkan jawatan tertinggi

Keputusan meluluskan usul pada Perhimpunan Agung Umno yang diadakan baru-baru ini akan menimbulkan persepsi negatif termasuk dalam kalangan ahli Umno.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Potret presiden Umno dulu hingga kini digantung di tepi Dewan Merdeka pada Perhimpunan Agung Umno 2022.
Potret presiden Umno dulu hingga kini digantung di tepi Dewan Merdeka pada Perhimpunan Agung Umno 2022.

Keputusan Umno untuk tidak dipertandingkan dua jawatan tertinggi ibarat langkah "memakan diri" dan dijangka mendatangkan mudarat lebih besar kepada parti itu, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, keputusan meluluskan usul pada Perhimpunan Agung Umno yang diadakan baru-baru ini akan menimbulkan persepsi negatif termasuk dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, implikasi daripada keputusan tersebut bakal diterjemahkan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tahun ini.

"Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), banyak kerusi Umno tewas disebabkan sabotaj apabila tindakan Ahmad Zahid Hamidi meletakkan calon yang tidak digemari akar umbi," katanya kepada MalaysiaNow.

"Jika itu berlaku pada PRU15, apatah lagi selepas apa yang berlaku ketika ini, Umno berkawan dengan DAP, kemudian tidak membuat pemilihan bagi dua jawatan tertinggi.

"Ini yang dituntut besar oleh akar umbi."

PRN bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan perlu diadakan pada tahun ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri tidak dilakukan serentak dengan Parlimen tahun lalu.

Pada Sabtu, perwakilan Umno meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang meskipun usul itu menerima bantahan menerusi sorakan "boo" oleh perwakilan sehari sebelum keputusan diumumkan.

Usul itu juga mendorong kritikan dalam kalangan pemimpin atau ahli parti yang berpengaruh seperti bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob yang merasakan keputusan tersebut akan menjejaskan keyakinan orang muda terhadap Umno.

Malah, ia juga mendapat reaksi daripada bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang menyatakan terdapat taktik kotor untuk memastikan dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan.

Mengulas mengenai keputusan parti itu, Mujibu berpandangan Umno dan Zahid terlepas peluang untuk membersihkan imej parti berkenaan kerana ia ibarat memberi "peluru" kepada musuh untuk terus menyerang mereka.

"Jika buat pertandingan, Zahid masih ada peluang untuk menang tetapi sekurang-kurangnya mereka akan 'walk the talk'.

"Buktikan Umno parti yang terbuka dan boleh berubah. Ini akan beri impak positif," tambah beliau.

Ditanya sama ada keputusan ini akan mendorong individu seperti Ismail, Khairy ataupun bekas pemimpin kanan, Hishammuddin Hussein untuk keluar daripada Umno, Mujibu berkata ia tidak mungkin berlaku.

“Kerana mereka tetap setia dengan parti meskipun tidak satu pandangan dengan Zahid.”

Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, keputusan Umno untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi akan mendorong parti tersebut terus dibebani imej kluster mahkamah membabitkan pemimpinnya.

Katanya, perubahan kepimpinan Umno dilihat mampu meredakan kebangkitan Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU15, sokongan Melayu kebanyakan beralih kepada PN apabila Umno hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen, keputusan terburuk yang pernah direkodkan dalam sejarah parti itu.

"Keutamaan sepatutnya mengekalkan saki baki sokongan Melayu yang masih ada memandangkan ‘gelombang hijau’ tidak akan reda dalam masa terdekat.

"Ini selari dengan kebangkitan Islam antarabangsa dengan langkah kawalan sosial ketat mula dilihat di Indonesia, Afghanistan dan juga di Kedah," katanya.