- Iklan -
Berita

Program bantuan tunai dijenamakan semula lagi

Ini adalah kali keempat program itu ditukar nama sejak pentadbiran Najib Razak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur untuk menyemak kelayakan bagi Bantuan Sara Hidup di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 2019. Gambar: Bernama
Orang ramai beratur untuk menyemak kelayakan bagi Bantuan Sara Hidup di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 2019. Gambar: Bernama

Program bantuan tunai kerajaan sekali lagi dijenamakan semula dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diagihkan secara berperingkat mulai 17 Januari.

Ini adalah kali keempat program itu ditukar nama sejak pentadbiran Najib Razak, yang dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M.

Ia dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) selepas Pakatan Harapan (PH), diketuai Dr Mahathir Mohamad, mengambil alih pentadbiran persekutuan pada 2018, dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin. 

Ismail Sabri Yaakob, yang mengambil alih pentadbiran daripada Muhyiddin pada 2021, menukarkan nama bantuan itu kepada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), selaras dengan slogan Keluarga Malaysia yang dipromosikan ketika itu.

Dalam pengumumannya hari ini, Anwar yang mengetuai kerajaan campuran terdiri daripada PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain, berkata sejumlah RM1.67 bilion akan diagihkan di bawah program STR Fasa 1.

Daripada jumlah ini, RM1.20 bilion akan disalurkan kepada kira-kira 4 juta isi rumah pada kadar RM300 manakala selebihnya akan diagihkan kepada 1.2 juta warga emas bujang dan 3.5 juta individu bujang dengan bantuan berjumlah RM100 setiap seorang.