- Iklan -
Berita

Bersatu rujuk isu 4 ahli Parlimen Sabah lompat parti ke mahkamah

Johari Abdul terkhilaf membuat tafsiran perlembagaan parti itu kerana memberi alasan ahli Dewan Rakyat tersebut menjadi ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Johari Abdul ketika berucap selepas dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur, 19 Disember. Gambar: Bernama
Johari Abdul ketika berucap selepas dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur, 19 Disember. Gambar: Bernama

Bersatu akan merujuk isu empat ahlinya yang melompat parti ke mahkamah selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan ahli Parlimen dari Sabah itu tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Johari terkhilaf membuat tafsiran perlembagaan parti itu kerana memberi alasan ahli Dewan Rakyat tersebut menjadi ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober lalu.

“Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU15.

“Saya percaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain. 

Katanya, fasal ini tidak terpakai kepada empat ahli Parlimen tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti berkenaan adalah pengasas serta parti komponen GRS ketika itu.

“Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan inti pati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan,” katanya.

Pada 10 Disember tahun lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan kepimpinan tertinggi Bersatu Sabah keluar parti termasuk empat ahli Parlimen itu.

Keempat-empat ahli Parlimen berkenaan adalah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).