Karier politik Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua ibarat sudah tiba ke penghujungnya apabila beberapa penganalisis meramalkan sukar untuk bekas naib presiden PKR itu membuat "come back" selepas dipecat daripada partinya.
Terdahulu, Chua yang merupakan antara pendukung awal perjuangan Reformasi bersama Anwar Ibrahim, mula menyandang kerusi Parlimen Batu sejak 2008, bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 2018 disebabkan kes mahkamah.
Disebabkan itu, penyokong PKR diseru menyokong Prabakaran Parameswaran yang pada ketika itu bertanding atas tiket bebas sebelum dipilih menjadi ahli Parlimen Batu.
Bagaimanapun, pada PRU15 November tahun lalu, Parlimen Batu menyaksikan persaingan sembilan penjuru yang mana Chua bertanding atas tiket bebas menentang Prabakaran yang merupakan calon yang diketengahkan PKR.
Bekas pemimpin PKR itu bagaimanapun mengalami kekalahan teruk apabila hanya berjaya meraih 4,603 undi menyebabkan kehilangan deposit manakala Prabakaran berjaya mempertahankan kerusi itu dengan meraih majoriti 22,241 undi.
Akibat daripada tindakan itu, PKR pada 8 Januari lalu secara rasminya memecat Chua dan beliau baru-baru ini memohon maaf dan merayu supaya Anwar dan PKR menerimanya semula.
Namun begitu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata walaupun Chua sudah banyak berjasa terhadap PKR, namun tindakannya disifatkan sebagai "dosa besar" kerana keputusan itu bertentangan dengan parti.
Katanya, sekiranya PKR tidak mengambil tindakan tegas terhadapnya, ia akan menghantar isyarat yang salah kepada ahli parti pada masa hadapan.
"Apa yang berlaku terhadap Tian Chua sememangnya sesuatu yang mendukacitakan tetapi ia wajar sebagai mesej bahawa tiada individu yang lebih besar daripada parti," katanya kepada MalaysiaNow.
"Beliau membuat satu perhitungan yang salah, dia fikir dapat sokongan pengundi di situ tetapi sebenarnya sentimen pengundi adalah menyokong parti dan bukannya individu."
Tambah Jeniri, Chua juga ibarat terlepas peluang keemasan memandangkan Anwar kini sudah dilantik sebagai perdana menteri, yang mana jasa beliau pastinya akan "dihargai" sekiranya masih bersama PKR.
"Disebabkan perhitungan salah, ia menikam diri sendiri.
"Kalau tidak bertanding, dia ada peluang besar untuk Anwar mengiktiraf sumbangan dan pengorbanannya sebagai antara individu awal yang menggerakkan perjuangan reformasi," kata Jeniri.
Bagi James Chin dari University of Tasmania Australia, tindakan terhadap Chua adalah selari dengan mana-mana parti politik di Malaysia, oleh itu, beliau boleh dikatakan "sudah menjangkakan" keputusan daripada PKR untuk membuangnya.
"Dia tidak sepatutnya bertanding sebagai calon bebas kerana ia hanya menunjukkan bahawa sokongan terhadapnya sangat sedikit.
"Malah, dia juga kehilangan deposit. Kini lagi susah untuk Tian Chua kembali ke arena politik," kata Chin.
Menurut Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara, Anwar secara peribadi mungkin akan memaafkan tindakan Chua, namun agak "mustahil" untuk beliau kembali diterima dalam kalangan PKR memandangkan kem Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka menentang keputusan tersebut.
"Jelas sekali Rafizi ada kalanya tidak sehaluan dengan Anwar, justeru sudah tentu kem beliau akan memberi tekanan hebat untuk pastikan individu yang menentang atau membelakangi parti tidak diterima kembali," katanya.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpandangan ada kemungkinan untuk Chua kembali ke arena politik bersama PKR atau Pakatan Harapan (PH) namun ia bergantung kepada soal masa.
"Ke mana lagi dia nak pergi? Perikatan Nasional?" soal beliau ketika ditanya sama ada penyokong Chua akan memberontak menentang PKR.
"Ya mungkin dia sudah menyumbang banyak, tetapi dalam dunia politik, jika melakukan satu kesalahan besar, ia boleh menjejaskan diri.
"Dia boleh kembali apabila tiba masanya," kata Oh.