- Iklan -
Berita

Ahli Umno tak berpuas hati boleh adakan EGM, kata peguam

EGM boleh dilaksanakan melalui usul tergempar yang difailkan oleh mana-mana ahli tertakluk kepada syarat-syarat menurut perlembagaan parti masing-masing.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari
Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari

Seorang peguam mengesyorkan ahli-ahli dan pemimpin yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) kerana meluluskan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang dengan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Menurut Rafique Rashid perhimpunan itu boleh dilaksanakan melalui usul tergempar yang difailkan oleh mana-mana ahli tertakluk kepada syarat-syarat menurut perlembagaan parti masing-masing.

“Ini satu opsyen dari sudut undang-undang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ketetapan yang diputuskan oleh perwakilan semasa PAU minggu lalu dilihat dapat memperkukuhkan kedudukan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meskipun parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rentetan itu, ramai pihak kesal dan tidak berpuas hati dengan ketetapan yang dibuat. 

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob juga dilaporkan menyuarakan kekecewaan mengatakan ianya satu pendirian yang membimbangkan.

Beliau menegaskan kesahihan cubaan Umno membawa dan menerima usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bagaimanapun, semakan MalaysiaNow mendapati Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966 menyatakan bahawa setiap keputusan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana ahli tidak boleh membawa pertikaian parti ke mahkamah.

Seksyen 18(c) juga dipanggil sebagai “ouster clause” iaitu satu klausa untuk menyingkirkan kuasa mahkamah dari menyemak atau menyingkirkan keputusan sesuatu badan atau organisasi.

Perkara ini turut boleh dilihat dalam cubaan sekumpulan ahli Umno yang mencabar seksyen 18(c) di mahkamah pada tahun 2018, tetapi gagal.

Pada 2018, seramai 16 bekas ahli Umno yang mencabar kesahihan parti itu apabila didakwa melanggar perlembagaan parti.

Ia berikutan parti itu gagal membuat pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan ahli Majlis Tertinggi dalam masa yang ditetapkan iaitu selama hampir lima tahun.

Panel tiga hakim Badariah Sahamid dalam keputusan sebulat suara berkata tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum itu.

“Seksyen 18 C Akta Persatuan menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, Rafique turut mengiakan seksyen dalam akta tersebut. 

Jelasnya, selagi mana-mana organisasi menjalankan urus organisasi dan tidak melanggar akta pertubuhan atau Perlembagaan persekutuan, ia bermakna satu parti itu menjadi pertubuhan yang boleh menjalankan uruskan sebagai organisasi.

“Ianya bukannya salah (tak bertanding dua jawatan tertinggi).

“Jadi, suara ahli tu kena didengar, tapi kalau ahli nak juga suara mereka didengari, maka melalui satu usul tergemparlah. Tetapi itu pula terpulang kepada Umno dan ahli-ahli Umno lah kena buat.”

Pemilihan Umno dijangka berlangsung selewat-lewatnya 19 Mei depan.

Sementara itu, penganalisis politik Ahmad Zaharudin Sani Sabri berkata, tindakan tidak mempertandingkan dua jawatan itu tetap memerlukan pengesahan daripada jabatan pendaftaran RoS.

"Kenapa jawatan-jawatan lain dipertandingkan? Sebelum mana-mana pihak merasakan mereka di pihak yang benar, kita harus tunggu keputusan RoS sama ada perkara ini boleh dilaksanakan," katanya.

Persoalan juga timbul berkaitan keabsahan Zahid untuk terus memimpin parti itu.

Menurut Zaharudin, sekiranya akar umbi merasakan kepimpinan sedia ada mampu memberikan kestabilan, Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan akan tetap menang menentang pesaing lain.

Ini akan menoktahkan segala persoalan mengenai kedudukan ahli Parlimen Bagan Datuk itu, apatah lagi dalam suasana politik semasa selepas kekalahan besar Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

"Apakah impak tiada pertandingan? Akar umbi akan berasa siapa sahaja yang berada di atas tidak akan bertukar. Ini membawa kronologi negatif kepada parti itu."

Dengan tiadanya pertandingan dua jawatan tertinggi, Umno kelihatan tidak mempunyai kata putus mengenai siapa yang sebenarnya patut memimpin parti.