- Iklan -
Berita

Loke umum dana RM40 juta untuk universiti milik MCA

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan enggan memanjangkan polemik yang berkait dengan TAR UMT hanya disebabkan hubungan IPTS itu dengan MCA.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tiga dari kanan) menyerahkan 'mock check' kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT Wee Ka Siong (tiga dari kiri) dari Kuala Lumpur, 17 Januari. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tiga dari kanan) menyerahkan 'mock check' kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT Wee Ka Siong (tiga dari kiri) dari Kuala Lumpur, 17 Januari. Gambar: Bernama

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) sekali gus menamatkan polemik pendanaan yang membelenggu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu sebelum ini. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kerajaan Perpaduan enggan memanjangkan polemik yang berkait dengan TAR UMT hanya disebabkan hubungan IPTS itu dengan MCA sebaliknya akan meneruskan sokongan dan pendanaan kepada universiti tersebut.

"Kita hendak sama-sama bergerak ke hadapan. Isu-isu yang boleh kita selesaikan, kita cuba selesaikan sebaik mungkin… Ini adalah antara isu angkara pertembungan politik sebelum ini.

“Apa yang penting, kerajaan hari ini adalah satu kerajaan yang merentasi pelbagai gabungan dan parti politik. Kita hendak kurangkan perbezaan dan perbanyakan persamaan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT di sini hari ini.

Pada majlis itu, Loke yang mewakili kerajaan menyerahkan surat kelulusan dan replika cek kepada pihak TAR UMT dan peruntukan itu dijangka dipindahkan kepada pihak pengurusan universiti  esok. 

Turut hadir Presiden MCA Wee Ka Siong, yang juga merupakan engerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT, Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, bekas Presiden MCA Liow Tiong Lai dan bekas Timbalan Presiden MCA Chan Kong Choy. 

Wee turut menyifatkan kelulusan itu sebagai 'angpau' tahun baharu kepada universiti tersebut dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mementingkan agenda pembangunan pendidikan tanpa mengira fahaman politik.

Katanya sehingga 2022, TAR UMT menerima dana sebanyak RM1.5 bilion melalui geran tahunan yang dihadkan kepada RM60 juta setahun. 

Pada 2019, geran padanan itu yang dahulunya diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional dihentikan manakala geran pembangunan juga dikurangkan kepada hanya RM1 juta.