- Iklan -
Berita

Muzik ‘bertuah’ iringi tarian singa ubati kesuraman Tahun Baru Cina selepas pandemik

Selepas dua tahun sekatan akibat pandemik, Dean Lim dan keluarganya tidak sabar-sabar menantikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli kumpulan E Xin Dragon and Lion Dance troupe membuat persembahan tarian singa di sebuah kilang di Klang menjelang sambutan Tahun Baru Cina, 20 Januari.
Ahli kumpulan E Xin Dragon and Lion Dance troupe membuat persembahan tarian singa di sebuah kilang di Klang menjelang sambutan Tahun Baru Cina, 20 Januari.

Bunyi dentuman gong, dram dan mercun yang mengiringi persembahan tarian singa memecahkan hening waktu pagi di sebuah rumah dalam taman perumahan di Subang Jaya, Selangor.

Kedengaran juga jeritan keriangan kanak-kanak yang teruja menyaksikan kelincahan penari yang memakai sut baju warna merah kuning melompat dan melakukan aksi seakan terapung atas angin sebelum mengakhiri persembahan dengan kelipan mata kostum kepala singa.

Berpuas hati dengan persembahan tradisional itu, Dean Lim dan anak-anaknya memberikan tepukan gemuruh dan menepuk-nepuk bahu dua orang penari utama di sebalik kostum berat dan berbulu tebal itu.

Dia memanggil cucu-cucunya yang masih kecil untuk berkumpul di hadapan penari yang memakai kostum dan mengambil gambar.

Dengan senyuman lebar, Lim berkata: “Senyum.”

Satu foto kemudiannya disimpan dalam galeri telefon bimbitnya.

Perayaan Tahun Baru Cina dengan tahun arnab bermula hari ini.

Sejak lebih seminggu lalu, bandar dan pekan utama di setiap negeri menganjurkan pelbagai siri acara termasuk pemasangan tanglung, lampu berwarna-warni, pertunjukan seni mempertahankan diri dan semestinya yang paling dinanti-nantikan, tarian singa.

Sejak pandemik Covid-19 yang melanda negara lebih dua tahun lalu, Lim berkata rumahnya sunyi dan sambutan perayaan itu tidak lagi meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dengan suara yang kesal, arkitek di syarikat pemaju perumahan itu menceritakan bagaimana dia dan ahli keluarga menyambut perayaan itu di luar negara setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

“Kami bercuti di Australia, Jepun dan paling kerap ke Amerika Syarikat untuk membeli belah atau melawat anak-anak bekerja di sana.

“Pandemik jadikan saya insaf kerana terkurung di rumah, saya mahu dengar lagi bunyi mercun dan alat-alat muzik dalam tarian singa. Tahun ini kami berkumpul, saya suruh cucu-cucu yang masih muda duduk di rumah dan jangan pergi mana-mana.

“Kerana kita nak tengok tarian singa. Tarian tradisi kaum kita yang bertahan beribu tahun lama dulu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tarian singa dari rumah ke rumah sudah menjadi tradisi yang tidak boleh ditinggalkan setiap kali sambutan perayaan tahun baru Cina di Malaysia.

Bukan sahaja kaum yang meraikan, kaum-kaum lain turut bersemangat menyaksikan tarian itu di mana sahaja ianya dipersembahkan termasuk pusat membeli belah, di jalanan atau menjadi penonton di rumah jiran tetangga.

Tarian itu adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa menggunakan kostum.

Kostum singa akan dimainkan oleh dua orang penari di bahagian hadapan dengan menggerakkan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut.

Tarian tersebut diiringi oleh gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan membawa tuah.

Dalam pada itu, penari dan koordinator tarian singa dari Kumpulan E-xin Dragon Lion Dance, organisasi yang aktif menjalankan latihan dan persembahan tarian singa dan naga sepanjang tahun berkata setiap keluarga mengeluarkan belanja kira-kira antara RM800 hingga RM1300 untuk mengadakan persembahan di rumah sendiri.

Aron Kong memberitahu, kelazimannya tuan rumah mengadakan persembahan tarian singa hanya sekali sahaja pada setiap sambutan tahun baru. Ia juga bergantung kepada jenis majlis yang dibuat sama ada rumah terbuka, majlis di syarikat atau di rumah.

“Kalau di sebelah malam tuan rumah buat majlis lagi, kita akan pergi rumah dan buat persembahan.

“Cas bayaran yang pihak kami kenakan bagi setiap persembahan bermula serendah RM888 hingga RM1388 untuk setiap rumah yang kita pergi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Rata-rata tuan rumah yang menjemput pasukannya membuat persembahan menempah persembahan pada harga paling tinggi.

“Itu (persembahan) tarian singa yang biasa. Kalau mereka nak tarian singa yang ada lompat tiang, kita akan cas harga lain.

“Harga yang itu sekitar RM3,000 dan ke atas. Ini biasanya dibelanjakan oleh keluarga yang lebih besar.”

Menurut Kong, kumpulannya itu menjalankan persembahan dan latihan sepanjang tahun dan tidak hanya menumpukan persembahan pada musim perayaan sahaja.

Pada bulan-bulan di luar waktu perayaan, mereka turut aktif melibatkan diri dalam pertandingan di dalam dan luar negara selain memenuhi jemputan pelanggan untuk membuat persembahan khas perasmian premis perniagaan dan sebagainya.

Sementara itu, Lim dan menantu lelakinya mencari persatuan-persatuan tarian seni tradisi masyarakat Cina yang melakukan persembahan dari rumah ke rumah pada musim perayaan sejak bulan Disember lalu.

Dua beranak itu nekad menjadikan sambutan tahun baru kali ini lebih bermakna meskipun baru kehilangan anak keduanya pada hujung tahun 2020 akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh.

“Saya dan menantu belanjakan RM10,000 untuk taja persembahan tarian singa di rumah-rumah orang yang kami tak kenal. Kami harap tarian singa di rumah mereka buatkan mereka lebih gembira untuk sambut raya.

“Anak saya pasti gembira jika tahu perkara ini, kami buat ini sebagai tanda ingatan untuk dia. Selamat Tahun Baru Cina!"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.