- Iklan -
Berita

Tahun Baru Cina ibarat hari biasa bagi Suki dan bapanya

Perayaan Tahun Baru Cina sekadar istimewa di kalendar mereka tetapi ia tidak disambut meriah terutama sejak bapa Suki diserang strok kira-kira lapan tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Suki bercerita dengan bapanya, Wong Kon Foo tentang apa aktiviti yang dibuatnya sepanjang hari.
Suki bercerita dengan bapanya, Wong Kon Foo tentang apa aktiviti yang dibuatnya sepanjang hari.

Tahun Baru Cina adalah sinonim dengan detik gembira dan merupakan hari "istimewa" bagi kebanyakan keluarga yang berkemampuan, namun bagi Wong Kon Foo dan anaknya Suki Wong Pei Yee, perayaan itu tidak beza dengan hari-hari lain.

Bagi keluarga ini, perayaan itu sekadar istimewa di kalendar mereka tetapi ia tidak disambut meriah terutama sejak Wong diserang strok kira-kira lapan tahun lalu.

Situasi ini mengakibatkan Wong tidak berupaya untuk bekerja menyebabkan keluarga itu hilang punca rezeki dan akhirnya mereka terpaksa hidup dengan bergantung kepada bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan simpati orang ramai.

Namun begitu, Wong tetap bersyukur dengan segala bantuan yang diterima terutama apabila kisah keluarga malang ini menarik perhatian ramai sejak ia dilaporkan MalaysiaNow pada Mei tahun lalu.

Laporan sebelum ini menceritakan kisah Suki yang terpaksa menjaga bapanya seorang diri walaupun hanya berusia 10 tahun (kini 11 tahun) selepas ibunya meninggal dunia.

Suki juga merupakan seorang kanak-kanak yang tiada warga negara memandangkan perkahwinan Wong dan isterinya yang merupakan warga Vietnam, Tan Diem Kiew, tidak didaftarkan.

Situasi ini juga menyebabkan Suki tidak boleh menyertai mana-mana sekolah kebangsaan sekali gus menghalang kanak-kanak itu akses kepada pendidikan.

"Pada Tahun Baru Cina, kami hanya duduk di rumah melakukan rutin biasa seperti hari-hari lain," kata Wong kepada MalaysiaNow.

"Ada kalanya adik beradik saya datang berkunjung, tetapi kami tidak ada jamuan makan besar.”

Suki sudah kenal huruf

Namun begitu, Wong berkata, situasi ini tidak bermakna dia berasa sedih kerana kehadiran Suki terus membuatkannya ceria.

"Sejak tahun lalu, ramai tampil menghulurkan bantuan, malah Suki juga berjaya dimasukkan ke taska.

"Kini, Suki sudah pandai membaca dan mengira. Setiap malam, Suki akan baca buku bersama saya sebelum kami tidur.

"Sebagai bapa, saya sangat gembira melihat perkembangan Suki terutama selepas dia kini mempunyai ramai kawan baru," katanya.

Mengulas lanjut, Wong berkata, meskipun Suki kini sudah ke taska, anaknya itu tidak pernah tinggalkan tanggungjawab untuk menjaganya di rumah.

"Dia masih tolong saya mandi, menyediakan makanan dan keluar membeli barang.

"Malah, Suki sangat rajin sehinggakan dia akan pastikan ada makanan untuk saya sebelum dia keluar ke taska setiap pagi," kata Wong.

Pada masa sama, Wong turut meluahkan rasa bimbang kerana tempoh Suki belajar di taska itu bakal berakhir pada Mac ini.

Memandangkan isu warganegara Suki masih belum selesai, akses pendidikannya mungkin akan terhenti.

Katanya, ada peguam yang datang membantu selesaikan isu itu, tetapi ia masih berjalan.

"Buat masa ini, saya pun tidak tahu apakah nasib masa depan Suki, saya harap ia dapat diselesaikan segera agar Suki boleh sertai sekolah seperti kanak-kanak lain seusianya.

"Tetapi saya juga ingin luahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang tampil membantu saya dan Suki melalui masa sukar ini," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.