- Iklan -
Berita

Mengapa Umno masih mendapat perhatian walaupun kalah teruk PRU15

Malah, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang dilangsungkan pada pertengahan Januari lepas masih menerima liputan daripada media dan pemerhati politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong parti mengikuti perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2022 yang disiarkan pada skrin gergasi di lobi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari.
Penyokong parti mengikuti perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2022 yang disiarkan pada skrin gergasi di lobi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari.

Kekalahan paling buruk yang dialami Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tidak memudarkan minat dan perhatian orang ramai terhadap parti yang pernah menjadi parti Melayu terbesar itu.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang dilangsungkan pada pertengahan Januari lepas masih menerima liputan daripada media dan pemerhati politik, malah melebihi mana-mana perhimpunan parti lain.

Pada PAU 2022, Umno yang hanya memperoleh 26 kerusi pada PRU15 membuat ketetapan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi, satu tindakan yang dianggap tidak demokratik dan melindungi kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden dan Mohamad Hasan sebagai timbalannya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik Mak Khuin Weng berpendapat PAU kali ini secara khusus menerima perhatian memandangkan hala tuju Umno menentukan nasib kerajaan PH.

"Kerelevanan mereka akan diukur pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya.

Katanya, jika PH tidak menjadi kerajaan bersama-sama Umno dalam PRN akan datang, ia bermakna undi Melayu jitu di belakang Perikatan Nasional (PN), sekali gus menunjukkan perpecahan pengundi di Malaysia Barat.

Ini membawa situasi satu lawan satu yang mana sukar untuk PH menang.

Justeru, gabungan itu memerlukan Umno.

Meskipun tewas, Umno masih mempunyai pengaruh dalam perniagaan besar dan kawalan terhadap media-media utama.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani misalnya, mempunyai saham terbesar dalam Media Prima yang mengawal rangkaian televisyen dan akhbar cetak serta portal berita.

Beberapa pemimpin lain turut mempunyai latar belakang korporat yang luas, tidak termasuk anak dan proksi yang dijadikan pengarah dalam syarikat-syarikat besar.

Zahid misalnya adalah pengarah dan pemilik saham kepada beberapa syarikat dan yayasan.

Sementara itu, Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, PAU diberi perhatian kerana orang ramai mahu melihat sejauh mana Umno masih relevan.

"Ramai yang kecewa kerana PAU tidak memberi perhatian dan resolusi untuk memulihkan defisit kepercayaan orang-orang Melayu terhadap Umno.

"Ramai juga melihat kegagalan PAU sebagai peluang untuk PN muncul dengan agenda yang jauh lebih signifikan untuk mencabar gabungan PH-Umno," katanya.

Tambah Kartini, tidak timbul soal hubungan politik dan perniagaan kerana ia lumrah dalam sistem demokrasi dan kapitalisme.

Setiap gabungan parti politik mempunyai komuniti perniagaan Cina di belakangnya.

"BN ada MCA bersama YTL dan Vincent Tan manakala PH-Amanah mempunyai taikun Koon Yew Yin.

“Pejuang turut disokong oleh seorang lagi taikun, Lee Kim Yew," katanya.