- Iklan -
Berita

Selesema burung di AS, Eropah, tak jejas bekalan ayam negara, kata menteri

Walaupun negara belum mencatatkan kes selesema burung, pihaknya sentiasa memantau perkembangan wabak itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, 25 Januari. Gambar: Bernama
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, 25 Januari. Gambar: Bernama

Wabak selesema burung yang sedang melanda Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah tidak menjejaskan bekalan ayam di pasaran negara. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata walaupun negara belum mencatatkan kes selesema burung, pihaknya sentiasa memantau perkembangan wabak itu.

“Buat masa ini, bekalan ayam negara stabil dan kita berharap ia akan terus berada dalam keadaan stabil pada masa hadapan.

“Setakat ini, wabak selesema burung itu tidak memberi sebarang kesan kepada bekalan ayam negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat jualan ayam di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bekalan ayam negara akan terjejas berikutan penularan selesema burung di beberapa negara sehingga menyebabkan puluhan ribu ayam terpaksa dimusnahkan di negara terbabit. 

Sementara itu, ditanya mengenai subsidi bersasar kepada penternak ayam, Mohamad berkata ia sedang dibincangkan dengan agensi terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Subsidi ini sudah lama berjalan dan ada permintaan supaya ia dikaji semula dan kini ia di peringkat kajian terakhir dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Sekiranya kita menerima aduan bahawa subsidi itu tidak sampai kepada golongan sasar, pegawai akan turun mengambil tindakan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.