- Iklan -
Berita

Hajiji umum rombakan pembantu negeri Sabah

Hajiji berkata pelantikan dan rombakan pembantu menteri adalah usaha berterusan untuk menyatukan dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Hajiji Nor hari ini mengumumkan rombakan Pembantu Menteri negeri yang menyaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini. 

Hajiji berkata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah Ruslan Muharam yang juga Adun Lumadan akan menjalankan peranan sebagai pembantu menteri kepada ketua menteri.

Beliau berkata Adun Inanam Peto Gadim (PKR) dilantik sebagai pembantu menteri pertanian dan perikanan manakala Adun Likas (DAP) sebagai pembantu menteri kewangan. 

“Pelantikan itu juga bagi mengisi kekosongan ditinggalkan James Ratib, bekas pembantu menteri pertanian dan perikanan yang kini menteri pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat negeri dan Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan pembantu menteri kewangan.

“Pelantikan dan rombakan pembantu menteri hari ini adalah usaha berterusan untuk menyatukan dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata empat pembantu menteri bertukar porfolio iaitu Dr Ruddy Awah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pembantu menteri pembangunan luar bandar; Fairuz Renddan (GRS) sebagai pembantu menteri belia dan sukan; Harun Durabi daripada Barisan Nasional (BN) sebagai pembantu menteri sains, teknologi dan inovasi serta Andi Suryady Bandy (BN) sebagai pembantu menteri pembangunan industri. 

“Saya ingin menekankan kepentingan kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya untuk berfungsi sebagai satu pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama dibina atas saling percaya dan hormat. Kami memerlukan pasukan yang kuat untuk memacu momentum pembangunan dan memenuhi janji pilihan raya kami untuk rakyat dan negeri,” katanya.