- Iklan -
Berita

Penyiasat nahas MH17 dedah penemuan baharu

Penemuan itu dijangka diperoleh daripada penyelidikan mereka tentang siapa sebenarnya yang melancarkan peluru berpandu dan menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine pada 2014, serta siapa yang membekalkan peluru buatan Rusia tersebut.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian daripada bangkai pesawat Malaysia Airline MH17 yang ditembak jatuh berdekatan perkampungan Hrabove (Grabovo), di wilayah Donetsk, 21 Julai 2014. Gambar: Reuters
Sebahagian daripada bangkai pesawat Malaysia Airline MH17 yang ditembak jatuh berdekatan perkampungan Hrabove (Grabovo), di wilayah Donetsk, 21 Julai 2014. Gambar: Reuters

Penyiasat antarabangsa akan mendedahkan hasil siasatan terhadap "pihak lain" yang terlibat dalam menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 bulan depan, selepas tiga individu didapati bersalah tahun lepas.

Penemuan itu dijangka diperoleh daripada penyelidikan mereka tentang siapa sebenarnya yang melancarkan peluru berpandu dan menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine pada 2014, serta siapa yang membekalkan peluru buatan Rusia tersebut. 

Dua warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh oleh mahkamah Belanda pada November didapati tidak melepaskan tembakan, tetapi hanya membantu membawa peluru berpandu ke Ukraine. 

Namun pada sidang media di The Hague pada 8 Februari, penyiasat akan mendedahkan "hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap pihak lain yang terlibat dalam menembak jatuh pesawat MH17", kata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam satu kenyataan. 

Katanya, saudara-mara mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu.

"Selain penglibatan DPR (Republik Rakyat Donetsk), JIT juga menyiasat pengemudi sistem peluru berpandu Buk dan mereka yang bertanggungjawab membekalkan senjata Rusia ini yang mengakibatkan MH17 meletup dan terhempas.”

Hakim Belanda mendapati bahawa warga Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta Leonid Kharchenko dari Ukraine adalah ahli pemisah DPR, dan kumpulan itu dikawal Moscow. 

Hakim bagaimanapun berkata, mahkamah tidak dapat mengenal pasti siapa yang sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu Buk ketika pesawat itu ditembak jatuh. 

Kesemua 298 orang di dalam pesawat itu terbunuh sewaktu ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah pada 17 Julai 2014. 

Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam menembak jatuh pesawat itu, atau dalam mengawal kumpulan pemisah. 

JIT terdiri daripada penyiasat dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, negara yang paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu. 

Hakim hak asasi Eropah di Strasbourg pada Isnin secara berasingan memutuskan bahawa kebanyakan aduan yang dikemukakan Belanda mengenai MH17 boleh diterima.