- Iklan -
Berita

Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 26 Januari. Gambar: Bernama
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 26 Januari. Gambar: Bernama

Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini diarahkan memberi keterangan membela diri meskipun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

Siti Bainun, 30, diarahkan membaca pernyataan saksinya selepas hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

"Mahkamah ini mempunyai 'absolute discretion' (budi bicara mutlak) untuk membenarkan atau menolak permohonan penangguhan. Dalam kes ini, saya perlu menggunakan budi bicara saya yang bijaksana. Oleh itu, hari ini saya akan mulakan kes pembelaan dengan kamu membacakan pernyataan saksi kamu yang telah diterima oleh pihak pendakwaan.

"Saya mengambil kira pernyataan saksi itu yang mempunyai lebih kurang 200 muka surat dan saya percaya pembacaan pernyataan saksi itu akan mengambil masa selama dua hari. Saya juga mengambil berat hak kamu untuk diwakili peguam. Maka, saya akan menangguhkan pemeriksaan balas oleh pihak timbalan pendakwa raya (TPR).

"Kamu berjanji untuk membawa peguam kamu dalam tempoh sebulan dan pada tarikh bicara yang ditetapkan 20 Feb ini, saya percaya pihak TPR boleh membuat pemeriksaan balas dan ketika itu kamu sepatutnya mempunyai peguam," kata hakim itu. 

Izralizam menegaskan supaya tertuduh mengutamakan kes hari ini kerana ini adalah peluang untuknya membela diri. 

"Namun, kamu memilih untuk melantik dua peguam mewakili kamu bagi kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan kes sivil berkaitan Rumah Bonda, sedangkan untuk kes ini kamu memilih untuk mendapatkan peguam YBGK. 

"Saya telah nyatakan sebelum ini pelantikan peguam YBGK memerlukan masa dan adalah lebih baik untuk kamu mendapatkan peguam yang lebih bersedia mewakili kamu. Saya boleh nampak tindakan kamu hari ini seolah-olah menganggap kes hari ini kurang penting," katanya.  

Terdahulu, Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah bertemu dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan mereka memohon masa sebulan untuk meneliti segala dokumen berkaitan kes itu.

"Mereka (YBGK) kata boleh dan mereka ada minta saya berikan dokumen. Semua dokumen dah ada kecuali penyata bank daripada Bank Negara Malaysia (BNM). 

"Mereka mohon (penangguhan) sebulan tetapi kalau saya boleh dapat dokumen (penyata bank) awal dan berikan pada mereka, mereka akan e-mel semula," katanya. 

Sementara itu, ditanya hakim sama ada Siti Bainun ada membuat aduan kepada Majlis Peguam berhubung tindakan lima peguamnya sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, Siti Bainun berkata: “Tidak, kerana mereka masih membantu saya dalam penyediaan pernyataan tuntutan dan dokumen berkaitan perbicaraan.”

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Siti Bainun atas alasan ia menyentuh peribadi saksi terdahulu dan kepakaran saksi-saksi pendakwaan.

Izralizam kemudian mengarahkan pendakwaan menyenaraikan perenggan-perenggan yang dimaksudkan dan menangguhkan prosiding seketika.

Pada 24 November tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.