- Iklan -
Berita

Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal untuk jalan tugas TPM

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.

Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

“Sebagai timbalan perdana menteri, saya menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Januari lepas. 

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

Selain itu, Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

“Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

“Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan,” jelasnya. 

Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

Sehubungan itu, Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Zahid.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Februari ini.

Pihak pembelaan memanggil enam saksi termasuk Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.