Pemain industri dan pengusaha restoran terkemuka meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung isu kos sara hidup dan harga barang.
Dengan paling terbaru, Rafizi menyeru kerjasama orang ramai untuk memulaukan premis perniagaan yang tidak menurunkan harga barang dan makanan.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin berkata, sebagai pengeluar bahan makanan dan bahan mentah setiap hari, barangan asas yang turut menjadi bahan masakan di restoran tidak mengalami penurunan harga bahkan kenaikan sebanyak antara 5 hingga 15% sejak setahun lebih lalu.
Ini termasuk bahan seperti minyak masak, gula, tepung, beras dan paket minuman Milo.
Berbeza pula dengan harga sayur-sayuran dan ikan mentah, harga bahan itu berubah-ubah bergantung kepada musim dan cuaca semasa.
"Jadi kalau menteri beritahu barang turun harga, saya syorkan kepada menteri sebab menteri lebih tahu daripada kita.
"Jadi dia boleh beritahu kepada kita apa barang mentah yang turun harga.
“Barulah rakyat Malaysia boleh turun buat tinjauan," katanya kepada MalaysiaNow.
Sementara Pengarah Urusan Restoran Syed Bistro Syed Jamarul Khan berkata kedudukan Rafizi sebagai menteri yang menyarankan pengguna memboikot restoran yang mahal sebagai tidak relevan.
Ini kerana katanya, seseorang menteri tidak menggunakan perkataan "pulau" sebagai syor kerana setiap pengguna mempunyai hak untuk gunakan hak masing-masing.
Katanya, sekiranya pengguna merasakan tawaran harga di sesebuah restoran itu mahal, mereka boleh memilih menu yang lebih murah.
"Barang (masakan) juga tak sama. Restoran itu lain restoran ini lain dan tak sama. Portion (saiz hidangan) juga lain.
"Tak boleh banding sama rata," katanya kepada MalaysiaNow.
Minggu lalu, Rafizi menerima kritikan bertali arus apabila menyebut kerajaan tidak mampu campur tangan terhadap kenaikan harga makanan di semua restoran dan kedai makan itu, mengharapkan kerjasama orang ramai untuk "memulau" premis yang gagal menurunkan harga.
Tambah Syed Jamarul, pengguna seharusnya dilatih untuk memilih tawaran yang dirasakan berbaloi untuk mereka berbanding diajar untuk memboikot premis makanan.
Katanya, kadangkala murah juga tidak bermaksud lebih baik.
Sebagai contoh, sepinggan nasi berharga RM5 hanya meletakkan nasi dan sedikit potongan ayam.
Manakala, sepinggan nasi berharga RM8 pula lengkap dengan sayur, kuah kari, potongan ayam saiz sederhana dan nasi putih.
"Mana yang lebih berbaloi? Berbaloi yang lebih penting."
Tambahnya lagi, jika dibandingkan harga makanan yang ditawarkan di Malaysia adalah jauh lebih murah berbanding mana-mana negara dalam dunia.
Katanya, tidak perlu pergi jauh hanya lihat kepada negara jiran, Indonesia.
"Singapura tak payah cakap lah. Di Indonesia, makan sepinggan nasi dan kopi sudah cecah RM20.
"Memang mahal restoran, jangan dibandingkan dengan harga makanan jalanan. Ini hakikatnya, nak makanan berbaloi lazat dan sedap kena bayar lebih sikit.
"Nak bayar murah, ada pilihannya."
Kos operasi meningkat
Mengulas lanjut, Syed Jamarul juga memberitahu kos pengoperasian restoran turut meningkat apabila kos sewa premis naik selepas keadaan Covid-19 terkawal.
Selain itu, kos pengoperasian melibatkan bayaran gaji pekerja juga meningkat susulan Perintah Gaji Minima (PGM) 2022 berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.
"Jadi kalau dulu gaji RM1500 pun kita kena naik juga, sebab staf gaji RM1300 naik RM200.
"Yang lain pun kena naikkan juga RM200 sebab kena adil. Pengurusan kena naikkan sama rata kalau tidak berlaku ketidakadilan dalam kalangan pekerja."
Pada masa sama, Ameer juga mengulas perkara sama apabila premis pasarayanya yang menyewa turut mengalami kenaikan bayaran sewa bulanan selain permintaan kepada tawaran gaji yang lumayan.
"Kita jangan jadi ahli politik korporat lah.
“Tapi ahli politik untuk rakyat," katanya mengakhiri perbualan.