- Iklan -
Berita

Media sosial dibanjiri kemarahan selepas Umno pecat Khairy

Perkembangan terbaru situasi politik dalaman parti itu mendapat perhatian ramai pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan Umno untuk kekal relevan dalam masa terdekat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin (kiri) bersalaman dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin (kiri) bersalaman dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama

Media sosial dipenuhi reaksi marah dan tidak puas hati netizen terhadap keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) malam tadi yang menyaksikan pemecatan Khairy Jamaluddin.

Perkembangan terbaru situasi politik dalaman parti itu mendapat perhatian ramai pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan Umno untuk kekal relevan dalam masa terdekat menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini. 

Ramai warga siber menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah "berani mati" dan cubaan Umno untuk menggali kuburnya sendiri.

"Umno, ini bunuh diri!," tulis pemerhati politik Wong Chin Huat.

"Sebelum PRN pun Umno dah masuk kubur," tulis pengguna Facebook Muhammad Ayie di ruangan komen Facebook Astro Awani.

Manakala, ada juga yang menuding jari kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi kerana bertindak melulu dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan.

"Ingat lagi KJ salam dengan Zahid, Zahid kata let's fight.

“Sekali jawatan tak dipertandingkan, KJ pula kena tendang keluar macam tu saja. Bacul," tulis Fai Zal di Twitter.

"KJ yang berwibawa pun Zahid sanggup pecat. Umno memang dah tersasar, rakyat perlu tolak jauh," tulis Shahril Uni.

Keputusan yang diumumkan lewat malam tadi turut membabitkan beberapa nama besar yang lain termasuk bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar turut dipecat selain beberapa digantung keahlian selama enam tahun.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas ahli Parlimen Jempol Salim Mohd Sharif,dan Ketua Bahagian Tebrau Maulizan Bujang.

Sebelum ini, Khairy dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang tidak sehaluan dengan Zahid dinamakan sebagai calon di Sungai Buloh selepas diminta mengosongkan kerusinya di Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi itu.

Turut dapat dilihat, beberapa siri kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairy disifatkan sebagai mengkritik Zahid secara halus. 

Antaranya, pada 2018, Khairy melawan Zahid bagi jawatan presiden pada pemilihan Umno, namun gagal merebut jawatan itu selepas hanya menerima 61 undi dari 191 perwakilan Umno bahagian.

Pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy menggelar dirinya sebagai “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat" dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Dalam pada itu, media sosial seperti Facebook dan Twitter turut dibanjiri dengan kata-kata semangat kepada Khairy mengatakan perjalanan politiknya masih belum terhenti dan khidmat beliau tetap dinantikan rakyat. 

Menerusi satu hantaran di Facebook, Khairy meluahkan perasaannya terhadap pengumuman pemecatannya dari Umno.

"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Tidak tunduk, tidak bengkok, tidak putus."

Sehingga kini, hantaran itu menerima ribuan komen dan puluhan ribu sukaan yang menyatakan sokongan terhadapnya.

"Kekal kuat, KJ. Kami tetap setia bersama," tulis Azaidar Ahmad.

"Ramai di belakang kamu, teruskan perjuangan," tulis Mohd Rusyidin Amin.

Malah, ada juga komen-komen yang menasihati Khairy supaya tidak melupakan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri Malaysia pada suatu masa nanti.

"PM 10, Dr Mahathir dan Muhyidin Yassin pun boleh jadi PM lepas kena pecat Umno. Berani kerana benar," tulis Nur Laila.

"Jangan masuk PKR, lingkup lagi YB KJ," pesan Hasmi Omar.

Pada 8 November, Khairy menyatakan hasrat beliau pertama kali untuk menjadi perdana menteri dalam salah satu siri ceramah kempennya di Sungai Buloh.