- Iklan -
Berita

Nasihatkan Nurul Izzah letak jawatan, Muhyiddin beritahu Anwar

Pengerusi PN itu berkata pelantikan Nurul Izzah merupakan kesilapan terbaru Anwar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyertai kritikan terhadap tindakan Anwar Ibrahim melantik anak perempuannya sebagai penasihat, mengatakan ia merupakan kesilapan terbaru perdana menteri yang bermula dengan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi menyertai Kabinet walaupun berdepan dengan pertuduhan rasuah.

Muhyiddin menyenaraikan tiga perkara yang boleh dilakukan Anwar untuk memulihkan imejnya: mengarahkan Zahid bercuti sehingga kes rasuah selesai, meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan dan menasihatkan Nurul Izzah meletakkan jawatan.

Muhyiddin berkata, Nurul Izzah merupakan seorang pemimpin wanita yang berbakat dan mempunyai potensi besar.

“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” kata bekas perdana menteri dan Presiden Bersatu itu.

Katanya, pelantikan Nurul Izzah itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri melantik anak sebagai penasihat. 

“Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong,” tambahnya.

Muhyiddin berkata, Anwar menunjukkan beliau hanya berminat kepada “sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan ‘you scratch my back, I scratch your back’.”

Katanya, selepas melantik Zahid bagi membalas budi kerana memastikan sokongan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepadanya sebagai perdana menteri, Anwar melakukan satu lagi kesilapan apabila melantik dirinya sendiri sebagai menteri kewangan.

“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri.”

Muhyiddin berkata, sebagai pemimpin pembangkang, beliau boleh sahaja mengambil kesempatan terhadap situasi ini.

Akan tetapi beliau tidak rela melihat “maruah negara tercalar kerana keterlanjuran perdana menteri”.

“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai menteri kewangan. Fokus kepada tugas sebagai perdana menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar. 

“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila perdana menteri pada masa itu, Najib Razak, adalah juga menteri kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” tambahnya.

Nurul Izzah, yang tewas di kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, mendedahkan pelantikannya berkuat kuasa pada 3 Januari lalu. 

Beliau berkata pengalamannya sebagai ahli Parlimen akan digunakan sebaik mungkin untuk melakukan libat urus dengan "pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar negara".

Nurul Izzah juga berkata beliau sibuk bertemu dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk belanjawan akan datang yang akan dibentangkan oleh bapanya.

Dalam pada itu, Anwar mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Nurul Izzah layak untuk memegang jawatan tersebut walaupun tidak mempunyai latar belakang ekonomi. 

“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi menteri kewangan selama lapan tahun (pada 1990-an),” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.