- Iklan -
Berita

Umno kalah kerana ditolak Melayu, bukan sabotaj, kata Noh Omar

Katanya, ini membuktikan tuduhan terhadapnya sebagai seorang pengkhianat Umno sebelum dipecat keahlian adalah tidak masuk akal.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor Noh Omar. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor Noh Omar. Gambar: Bernama

Kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas bukan disebabkan sabotaj tetapi peralihan sokongan rakyat ke parti Melayu lain, kata Noh Omar.

Bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor itu berkata, perkara ini adalah jelas apabila BN gagal meraih sebarang kerusi di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang Selangor, Perlis dan Melaka.

Katanya, ini membuktikan tuduhan terhadapnya sebagai seorang pengkhianat Umno sebelum dipecat keahlian adalah tidak masuk akal.

"Jika nak kata sabotaj parti, ini adalah rekod dalam sejarah perjuangan Umno, tujuh negeri tak menang (satu kerusi)," katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, Noh turut mempersoalkan mengapa beliau dipersalahkan apabila BN tewas di Parlimen Tanjong Karang sedangkan Sabak Bernam yang calonnya merupakan ketua Umno bahagian juga mengalami nasib sama.

"Adakah Datuk (Abd) Rahman (Bakri) kalah kerana sabotaj? Mana logik dia?

"Di Bagan Datuk, presiden bertanding hanya menang (majoriti) 340 undi. Adakah berlaku sabotaj di Bagan Datuk?," soal Noh.

PRU15 turut menyaksikan Umno mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu apabila hanya berjaya meraih 26 kerusi Parlimen.

Namun begitu, Ahmad Zahid Hamidi enggan melepaskan jawatannya sebagai presiden parti meskipun disarankan beberapa pemimpin Umno lain, langkah yang sama dibuat oleh Najib Razak ketika parti itu tewas pada PRU14 pada 2018.

Pada Jumaat, Umno memecat Noh dan Khairy Jamaluddin manakala Hishammuddin Hussein dan tiga lagi pemimpin parti itu digantung keahlian selama enam tahun.

Menurut Noh, beliau dipecat selepas mencabar Zahid supaya memecat keahliannya apabila Majlis Kerja Tinggi (MKT) Umno membuat keputusan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Dalam pada itu, Noh menjelaskan, kekalahan Umno pada PRU15 adalah hasil daripada kebangkitan mengejutkan Perikatan Nasional (PN) didorong oleh semangat "Mat Kilau" dalam kalangan pengundi Melayu.

"Siapa sangka? Saya pun tak sangka PN capai prestasi luar biasa.

"Jadi sepatutnya Umno melihat ke hadapan, jangan cari salah sesiapa, panggil duduk. 

"Ini pecat sana pecat sini, tuduh sabotaj dan pengkhianatan. Itu sebab saya lega bila tiada lagi dalam Umno," tambahnya.