- Iklan -
Berita

Umno sudah jadi pilihan ketiga orang Melayu, kata Khairy

Menurut bekas ketua pemuda Umno itu, orang Melayu sudah mencari wadah lain untuk perjuangkan isu agama dan bangsa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Meskipun pernah menjadi wadah utama perjuangan politik orang Melayu, Umno kini berada di tangga ketiga selepas PAS dan Bersatu, kata bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

"Malangnya orang Melayu sudah 'move on' daripada Umno. Mereka tidak menganggap tanpa Umno, isu agama dan bangsa tidak dibela.

"Mereka sudah mencari wadah lain untuk perjuangkan isu tersebut," katanya dalam wawancara bersama Astro Awani malam tadi.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan prestasi terburuk Umno apabila hanya memperoleh 26 kerusi, paling rendah dalam sejarah. 

Namun demikian, katanya Umno masih relevan kerana melengkapi kerajaan campuran yang diketuai Pakatan Harapan (PH). 

"Tetapi tak tentu Umno pada PRU akan datang, Umno masih diperlukan. 

“Katakan pada PRU16, kita hanya tinggal 15 kerusi, siapa hendak pandang kita?" katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata, kenyataan itu menjadi keperluan agar semua jawatan dipertandingkan dalam Umno supaya parti itu dilihat berubah.

"Penting untuk dapatkan presiden yang ada mandat. Kalau Zahid menang, Zahidlah. 

"Tanpa mandat daripada ahli, orang Melayu akan berkata kita tidak berani nak buat perubahan dalam parti,” katanya merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy antara pemimpin Umno yang dikenakan tindakan oleh Majlis Kerja Tertinggi pada minggu lepas dalam pembersihan yang didakwanya tidak mengikut proses yang betul.

Bekas ketua pemuda Umno itu dipecat daripada parti bersama-sama bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar. 

Beliau sebelum ini menzahirkan hasrat masih mahu menjadi perdana menteri dan sedang menilai tawaran-tawaran yang datang daripada pelbagai pihak termasuk parti lain. 

Khairy dipaksa bertanding di Sungai Buloh, kawasan yang dikenali sebagai kubu kuat PKR setelah kerusi tradisinya di Rembau ditandingi oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan. 

Bagaimanapun, Khairy tewas kepada calon kali pertama PKR, Ramanan Ramakrishnan dengan majoriti lebih 2,000 undi.