- Iklan -
Berita

Kastam AS isytihar produk Sime Darby Plantation tidak guna buruh paksa

Barangan yang dihasilkan Sime Darby Plantation disekat daripada memasuki AS sejak 2020 kerana disyaki mengamalkan kerahan buruh paksa.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Dua pekerja membersihkan tingkap pejabat Sime Darby Plantation Bhd di Kuala Lumpur, 6 Julai 2020. Gambar: Reuters
Dua pekerja membersihkan tingkap pejabat Sime Darby Plantation Bhd di Kuala Lumpur, 6 Julai 2020. Gambar: Reuters

Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat mengisytiharkan produk minyak sawit yang dihasilkan Sime Darby Plantation tidak lagi dihasilkan dengan buruh paksa, menurut notis di pendaftar Persekutuan AS semalam. 

Barangan yang dihasilkan Sime Darby Plantation disekat daripada memasuki AS sejak 2020 kerana disyaki mengamalkan kerahan buruh paksa.

Tahun lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkata ia mempunyai maklumat yang mencukupi bahawa firma itu menggunakan "buruh paksa" dan barangan itu tertakluk kepada rampasan.

Sebagai tindak balas, Sime Darby Plantation melantik perunding perdagangan beretika untuk mengaudit kemudahannya, dan tahun lalu memperuntukkan kira-kira AS$20 juta (RM85.52 juta) untuk membayar pampasan kepada bekas pekerja asing dan sedia ada yang dibayar yuran pengambilan untuk mendapatkan pekerjaan di firma itu. 

CBP, memetik maklumat tambahan yang diterimanya, berkata ia kini "mengisytiharkan bahawa produk itu tidak lagi dilombong, dikeluarkan, atau dikilang sepenuhnya atau sebahagiannya dengan penggunaan banduan, buruh paksa, atau pekerja oleh Sime Darby Plantation.". 

CBP tidak menyatakan bukti yang diterimanya atau sama ada larangan import firma itu ditarik balik. Agensi itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sime Darby berkata firma itu menyedari notis AS itu. 

"Kami optimis bahawa langkah besar yang kami lakukan dalam memperkukuh kualiti hidup tenaga kerja kami tidak lama lagi akan diiktiraf oleh USCBP dan kami akan dibenarkan untuk menyambung semula eksport ke Amerika Syarikat," kata seorang jurucakap dalam e-mel kepada Reuters . 

Sime Darby Plantation adalah antara lapan firma Malaysia yang diharamkan oleh AS sejak empat tahun lalu kerana dakwaan buruh paksa. 

Malaysia pada 2021 mengumumkan rancangan kerajaan untuk menghapuskan amalan seperti ikatan hutang, asrama yang tidak bersih untuk pekerja, dan kerja lebih masa yang berlebihan, menjelang 2030.