- Iklan -
Berita

Penjualan mercun, bunga api akan dibenarkan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mercun dan bunga api bernilai RM87,010 yang membabitkan cukai RM56,556.50 dirampas dalam siri serbuan serta pemeriksaan di sekitar Pulau Pinang, 18 Januari. Gambar: Bernama
Mercun dan bunga api bernilai RM87,010 yang membabitkan cukai RM56,556.50 dirampas dalam siri serbuan serta pemeriksaan di sekitar Pulau Pinang, 18 Januari. Gambar: Bernama

Aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun dalam negara akan dibenarkan tidak lama lagi, tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sebagai antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara, dan kerajaan akan mengawal aktiviti penjualannya di peringkat sumber iaitu pemborong dan pengimport.

Katanya beliau menjangka pendapatan kerajaan akan bertambah menerusi pengenaan duti import kepada pemegang lesen, yang boleh menjangkau hingga ratusan juta, dan pengimportannya pula akan dapat dikawal selia dari segi undang-undang.

Beliau berkata sebelum ini segala bentuk keuntungan melalui aktiviti penjualan mercun dan bunga api ini dikaut oleh sindiket yang membawa masuk produk itu ke dalam negara secara haram ketika musim perayaan, dan dari segi keselamatan pula, tiada standard keselamatan ditetapkan, menyebabkan ada kalanya berlaku kemalangan.

“Kita serah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk buat panduan dan semua peraturan, bagaimana untuk mohon lesen. Kementerian Kewangan akan tetapkan berapa peratus cukai perlu dibayar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Muhibah sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Putrajaya hari ini. 

Sementara itu, Nga berkata pengusaha industri makanan dan minuman (F&B) di pusat bandar raya yang didapati gagal mengekalkan Sijil A untuk tahap kebersihan tandas, tidak dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan bermula tahun hadapan.

Beliau berkata keputusan itu juga dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam sejajar dengan pendekatan tandas awam bertaraf ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.

“Di peringkat kawasan bandar raya, semua pengusaha industri F&B outlet wajib mendapat sijil A untuk kebersihan tandas di restoran, hotel, warung kopi kedai mamak dan lain-lain.

“Maka dalam tempoh tiga tahun ini, kita jangka akan laksanakan dasar ini di seluruh negara, dijangka 18,000 buah tandas awam juga kita akan pastikan bersih, menawan, dan wangi, selaras dengan dasar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.