- Iklan -
Berita

Makanan tidak halal akan dimasukkan dalam 'Menu Rahmah'

Inisiatif makanan mampu milik kerajaan akan diperluaskan ke restoran tidak halal dalam tempoh terdekat di mana daging babi dan bahan tidak halal lain turut dihidangkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja restoran menunjukkan contoh makanan yang ditawarkan di bawah program Menu Rahmah di Kuala Lumpur.
Pekerja restoran menunjukkan contoh makanan yang ditawarkan di bawah program Menu Rahmah di Kuala Lumpur.

Inisiatif makanan mampu milik, Menu Rahmah akan turut memasukkan masakan tidak halal dalam tempoh terdekat untuk memenuhi keperluan bukan Islam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub. 

Program itu, yang kini melibatkan 15,000 kedai halal, akan diperluaskan kepada restoran tidak halal yang menghidangkan daging babi dan ayam tidak halal, katanya kepada New Straits Times dalam satu wawancara. 

“Kalau daging babi, jenis dan bahagian mana yang sesuai kerana mungkin ada potongan premium, sama seperti ayam,” katanya dipetik akhbar itu. 

Menu Rahmah, di mana restoran menawarkan hidangan lengkap hanya dengan harga RM5, dilancarkan minggu lalu sebagai inisiatif kerajaan terhadap peningkatan kos sara hidup yang dihadapi golongan B40.

Salahuddin, yang juga timbalan presiden Amanah, berkata beliau mendapat inspirasi untuk mewujudkan "inisiatif" itu selepas ramai pengundinya di Pulai, Johor mendekatinya untuk mendapatkan bantuan.

"Pada 2020, saya mula melihat ramai pengundi Cina datang kepada saya. 

"Saya sudah berhubung dengan (bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) Hannah Yeoh dan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok," NST memetik beliau sebagai berkata.

Menu Rahmah sudah dibandingkan dengan inisiatif serupa di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, yang melancarkan Menu Rakyat 1Malaysia pada 2011, di mana peniaga yang mengambil bahagian menawarkan makanan serendah RM2. 

Program itu kemudiannya tidak diteruskan kerana restoran mendapati mereka tidak mampu menampung kenaikan harga makanan serta kos operasi dan upah pekerja.