- Iklan -
Berita

Bekas pegawai bank tidak jangka akaun Najib diguna untuk pengubahan wang haram

Joanna Yu Ging Ping berkata, beliau percaya Najib tahu mengenai transaksi dalam akaun banknya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegurus bank AmBank Joanna Yu Ging Ping tiba di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 2 Februari. Gambar: Bernama
Bekas pegurus bank AmBank Joanna Yu Ging Ping tiba di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 2 Februari. Gambar: Bernama

Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah menjangkakan seseorang akan menggunakan akaun Najib Razak untuk pengubahan wang haram. 

Joanna Yu Ging Ping, 52, yang mengendali akaun bekas perdana menteri itu, berkata ini kerana beliau percaya Najib tahu mengenai transaksi dalam akaun banknya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya Shafee mengapa Yu dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengggunakan istilah 'American Pie' bagi merujuk kepada AS$ dan 'Sate' untuk RM melalui sembang BlackBerry Messenger (BBM) pada 2014, saksi itu berkata memandangkan ia adalah akaun milik perdana menteri maka butirannya perlu dirahsiakan.

"Saya percaya begitu kerana Jho Low kata jangan dedahkan nama PM. Kami perlu melindungi pemegang akaun ketika itu kerana Jho Low kata anda tidak tahu jika ada orang ingin menggunakan nama PM dan melakukan sesuatu. 

"Jadi dia kata kami perlu lindungi nama PM dan saya percaya ia adalah permintaan Datuk Seri supaya perkara itu dirahsiakan," katanya.

Ketika ditanya Shafee bahawa ini mungkin membabitkan isu pengubahan wang haram, Yu berkata “Ini adalah akaun PM Malaysia.”

Shafee: Tetapi wang sebenar bukannya datang daripada PM, ia dari luar.

Yu: Bagi akaun PM, saya tidak fikir ada orang akan menggunakannya, maksud saya untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram.

Shafee turut mencadangkan bahwa saksi itu kini menyedari bahawa jika maklumat mengenai akaun Najib didedahkan, keseluruhan isu sama ada wang yang masuk itu adalah 'kosher' atau sah dapat diketahui lebih awal dan beliau akan dilindungi serta tidak terjejas. 

"Saya percaya beliau sentiasa dimaklumkan. Ya, cek telah dikeluarkan, kad kredit telah digunakan. Saya anggap beliau tahu apa yang berlaku," kata Yu.

Saksi pendakwaan ke-41 itu turut memaklumkan mahkamah bahawa Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, telah meminta beliau untuk memastikan cek milik Najib bukan cek tendang.

Yu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa Jho Low ingin mengelak cek tendang kerana ia akan menyedarkan Najib mengenai keadaan sebenarnya akaunnya dan berkata beliau tidak tahu apa yang berlaku antara Jho Low dan Najib.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.