- Iklan -
Berita

Kertas putih perolehan vaksin Covid-19 tidak ikut prosedur dibentang di Parlimen

Anwar Ibrahim berkata perolehan bekalan vaksin berkenaan dilakukan oleh menteri kesihatan ketika itu tanpa melalui persetujuan peguam negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur, 31 Januari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur, 31 Januari. Gambar: Bernama

Kertas putih berkaitan perolehan dan kos pembelian vaksin Covid-19 yang didapati tidak mengikut prosedur sebelum ini akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perolehan bekalan vaksin berkenaan dilakukan oleh menteri kesihatan ketika itu tanpa melalui persetujuan peguam negara (AG).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, Anwar berkata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perkara tersebut apabila kertas putih berkenaan dibentangkan nanti.

“Kertas putih ini akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya. Perolehan bagi sesetengah vaksin ini amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat,” katanya.

Tanpa mendedahkan menteri terlibat yang perlu memberi penjelasan, Anwar bagaimanapun berkata: "Soal utama juga bukan siapa menteri, tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu."

Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).