Perbualan lewat malam antara seorang bekas pengurus perhubungan AmBank dan bekas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, pada 2014, tidak memberikan sebarang manfaat kepada mereka, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Joanna Yu Ging Ping, 52, yang berkomunikasi dengan Jho Low menerusi sembang BlackBerry Messenger (BBM) antara 12.41 tengah malam hingga 11.36 pagi 21 Ogos 2014, berkata ia berkisar mengenai pengeluaran cek RM5 juta kepada Umno.
Yu, yang ketika itu mengendali akaun Najib Razak, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahmad Akram: Ketika perbualan lewat malam berlaku pada 21 Ogos 2014, apakah yang dibincangkan oleh kamu dan Jho Low?
Yu: Dia memaklumkan saya sekitar 12.41 tengah malam untuk menguruskan pengeluaran cek RM5 juta kepada Umno. Saya telah membaca mesej itu sekitar 1 pagi dan kata "okey". Saya tanya akaun yang mana?
Ahmad Akram: Jadi, ia berkisar tentang wang yang akan dibayar kepada Umno? Ini untuk manfaat siapa? Yu menjawab: Umno, saya rasa.
Ahmad Akram: Perbualan itu bukan untuk manfaat kamu atau Jho Low sebaliknya untuk manfaat Umno?
Yu: Ya, untuk memastikan cek itu tidak ditendang.
Saksi pendakwaan ke-41 itu juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau selalu berjumpa dengan Jho Low di pangsapuri mewah lelaki tersebut di Jalan Kia Peng untuk mendapatkan tandatangannya pada dokumen bank berkaitan projek 1MDB.
Ahmad Akram: Ia bukan untuk sebarang perkara peribadi antara kamu dan Jho Low? Yu menjawab: Tidak, ia hanya untuk urusan kerja.
Terdahulu, Yu disoal oleh Muhammad Shafee Abdullah berhubung perbualan lewat malam menerusi sembang BBM dan peguam Najib itu menyifatkan hubungan Yu dengan Low sebagai sesuatu yang tidak wajar memandangkan wanita itu sudah berkahwin.
"Saya teringin untuk mempunyai seorang pegawai bank yang sanggup berjaga sepanjang malam semata-mata mahu mendapatkan arahan daripada saya. Kamu berjaga lewat malam sehingga 5 pagi untuk berbual dengan Jho Low. Suami kamu tidak kisah?" soal Muhammad Shafee.
Bagaimanapun, Yu menjawab sembang pada 5 pagi adalah daripada Low dan beliau hanya membalasnya pada 7 pagi.
"Ia adalah soal kerja. Saya tidak pernah berada bersendirian dengan Jho Low di pangsapurinya," kata saksi itu.
Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan membantah soalan peguam dan berkata: "Ia adalah soalan yang tidak wajar dikemukakan, Yang Arif."
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Muhammad Shafee agar tidak menyentuh perkara itu dengan lebih lanjut.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Perbicaraan bersambung esok.