- Iklan -
Berita

Fenomena 'brain drain' boleh manfaatkan negara, kata Fadillah

Perlu lihat dari sudut berbeza, bagaimana kita manfaatkan rakyat di luar sumbang kepada negara, kata timbalan perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Makan Malam di Jakarta, Indonesia sempena lawatan kerja rasminya selama tiga hari, 8 Februari. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Makan Malam di Jakarta, Indonesia sempena lawatan kerja rasminya selama tiga hari, 8 Februari. Gambar: Bernama

Fenomena brain drain atau penghijrahan pakar di Malaysia boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana kerajaan masih boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk kepentingan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata antara faktor berlakunya brain drain dalam bidang penyelidikan adalah kerana terdapatnya fasiliti dan sistem sokongan yang lengkap di negara lain seperti di Silicon Valley, Amerika Syarikat, yang mampu meningkatkan kepakaran dan potensi.

“Di Malaysia ramai yang pergi ke negara lain terutamanya dalam bidang sains dan teknologi disebabkan tidak ada rantaian nilai keseluruhan yang boleh memberikan keselesaan dan kemudahan kepada mereka.

“Brain drain perlu dilihat dari sudut yang berbeza iaitu bagaimana kita manfaatkan rakyat yang berada di luar agar dapat menyumbang kepada negara. Pada saya kalau ada penghijrahan untuk tujuan tersebut ia adalah sesuatu yang baik,” katanya pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia di sini malam ini, sempena lawatan kerja tiga hari bermula hari ini.

Selain menjadi penghubung antara Malaysia dengan negara tempat mereka berada, Fadillah berkata hasil penyelidikan pakar-pakar ini boleh digunakan di Malaysia.

Terdahulu, Fadillah dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.40 petang waktu tempatan (7.40 malam waktu Malaysia).

Esok, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto untuk membincangkan isu-isu berkaitan minyak sawit.

Antara yang dibincangkan termasuk strategi untuk mengatasi Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah dan meneroka cara mengukuhkan kerjasama dalam kalangan anggota Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.