- Iklan -
Berita

‘Sepatutnya bersuara ketika jadi PM’, penganalisis beritahu Ismail Sabri

Umno juga perlu ambil serius ramalan Ismail yang parti itu sukar menang kerusi pada PRN nanti, kata pemerhati politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 BN di WTCKL, Kuala Lumpur, 1 November. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 BN di WTCKL, Kuala Lumpur, 1 November. Gambar: Bernama

Tindakan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob yang semakin lantang bersuara terhadap kepimpinan Umno baru-baru ini disifatkan sebagai sudah terlewat oleh penganalisis politik, selepas penguasaan penuh parti itu oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, beliau sepatutnya bersuara ketika masih menjadi perdana menteri.

"Perkara itu (nasib Umno) paling perlu dibincangkan. 

"Sepatutnya Ismail perlu bertindak demikian ketika menjadi perdana menteri, bukan sebaliknya. 

“Kini nasi sudah menjadi bubur," katanya mengulas pendedahan Ismail dalam beberapa wawancara baru-baru ini.

Ismail meramalkan nasib Umno pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini akan menjadi lebih buruk, susulan kekalahan paling memalukan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Bekas perdana menteri yang paling singkat berkhidmat dalam sejarah itu berkata, majlis kerja tertinggi tidak mengendahkan laporan agensi berhubung jangkaan kekalahan Umno jika PRU dibuat lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya.

Ismail yang juga ahli parlimen Bera itu baru-baru ini turut mengumumkan PRU15 akan menjadi pilihan raya terakhir untuk beliau. 

Beliau ditekan oleh Zahid untuk mengadakan PRU15 lebih awal. 

Sekutu beliau dalam Umno yang disebut “kluster Putrajaya” juga tiada dalam senarai calon, antaranya Shahidan Kassim dan Annuar Musa. 

Ismail baru-baru ini turut bersuara menentang pemecatan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar. 

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, hanya Ismail sahaja yang mempunyai jawapan mengapa kenyataan itu dibuat selepas kalah PRU15.

"Mengapa selepas PRU15 baru beliau dedahkan perkara ini, soalan itu kena tanya dia sendiri," katanya.

Namun Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, Umno wajar mengambil serius ramalan Ismail yang selari dengan andaian banyak pihak lain bahawa parti itu akan sukar menang kerusi pada PRN kelak.

Bagi Mujibu, pemecatan dan penggantungan beberapa tokoh Umno baru-baru ini disifatkan langkah yang terkebelakang ketika parti tu sepatutnya memperbetulkan persepsi kepada masyarakat umum dan ahli sendiri.

Ismail turut dipersalahkan oleh segelintir pihak dalam Umno atas kekalahan parti itu. 

Beliau didakwa sengaja melewatkan pembubaran Parlimen. 

Namun bagi Mujibu, lambat atau cepat bukan isu utama. 

"Ia menjurus kepada tindakan Umno yang melaksanakan 'pembersihan' yang tidak kena  pada masanya iaitu ketika Umno mempunyai kelebihan sebagai kerajaan untuk menentukan tarikh pilihan raya dan lebih bersedia.

"Tambahan pula, penolakan umum terhadap Umno lebih kepada rakyat yang sudah tidak melihat Umno atau Pakatan Harapan sebagai pilihan politik yang ideal, justeru Perikatan Nasional menjadi pilihan," katanya.