- Iklan -
Berita

Miskin bandar tak mampu nikmati Menu Rahmah

Ia masih tidak dapat meringankan beban beberapa golongan terutama yang punya ahli keluarga ramai.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan berjalan melintasi poster Menu Rahmah di sebuah pasar raya di Subang, Selangor, 9 Februari.
Seorang pelanggan berjalan melintasi poster Menu Rahmah di sebuah pasar raya di Subang, Selangor, 9 Februari.

Selepas seminggu pengenalan Menu Rahmah oleh kerajaan, sebagai usaha menangani kos sara hidup, segelintir keluarga miskin bandar mengakui belum dapat “menikmati” kebaikan daripada program tersebut.

Ini kerana harga set makanan yang disediakan masih dalam kategori tidak mampu dimiliki dan tidak berbaloi untuk dibeli dalam kuantiti yang banyak khususnya bagi mereka dengan ahli keluarga yang ramai.

Seorang pekerja kontraktor kebersihan menyifatkan set menu dan tawaran harga yang disediakan oleh program tersebut sebagai jauh dari kemampuan kewangannya.

Dengan gaji bulanan kurang dari RM2,000 sebulan, dia membayangkan dirinya tidak boleh memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli hidangan daripada Menu Rahmah meskipun serendah RM5 setiap set.

“Sebulan sekali mungkin saya boleh beli. Kalau untuk makan hari-hari, saya kira lebih baik beli barangan dapur dan memasak di rumah.

“Kalau makan Menu Rahmah, saya perlu bayar RM30 untuk enam set nasi. Empat untuk anak, dua untuk saya dan isteri. 

“Belum termasuk ibu saya yang duduk bersama di rumah, semuanya tujuh set nasi atau RM35,” kata Thanalinggam kepada MalaysiaNow ketika mengunjungi sebuah pasar raya di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, katanya, dia masih dalam keadaan tersepit. 

Bukan sahaja tidak mampu membeli set Menu Rahmah, barangan basah dan keperluan dapur asas juga susah disebabkan harga yang tinggi.

Bahkan untuk membeli keperluan asas seperti telur juga menjadi sukar untuknya kerana kekurangan bekalan tersebut.

Sejak setahun lalu, dia dan keluarga amat jarang menikmati sumber protein yang baik seperti ikan atau ayam sebagai lauk makanan disebabkan kos barangan yang meningkat secara drastik. 

Sebaliknya, keluarganya menggantikan protein dengan makanan sejuk beku yang jauh lebih murah dipadankan dengan nasi putih dan kicap manis.

“Beli nugget baru RM6 hingga RM7 satu paket. Boleh goreng makan dengan nasi tiga atau empat kali. Kadang-kadang beli sardin atau makanan dalam tin yang murah-murah.

“Itu lebih jimat berbanding beli makanan di luar walaupun murah tapi kita tak mampu.”

Atas sebab itu, Thana berkata dia tidak boleh menjawab pertanyaan apabila ditanya mengenai kebaikan yang diterimanya daripada program tersebut. 

Baginya, tiada perubahan ketara sebelum atau sesudah program itu diperkenalkan.

“Jika kerajaan boleh turun harga barang macam telur atau ayam, lebih baik. 

“Kita semua boleh bagi makan anak makanan elok dan sihat. Mereka juga boleh jadi kuat dan sihat.”

Lauk kari ikan tongkol berharga RM5 setiap satu, disediakan untuk dijual di bawah program Menu Rahmah oleh kerajaan.
Lauk kari ikan tongkol berharga RM5 setiap satu, disediakan untuk dijual di bawah program Menu Rahmah oleh kerajaan.

Tiada kawalan dalam pembelian?

Menu Rahmah adalah program makan tengah hari atau malam yang menyediakan hidangan seimbang yang merangkumi nasi, satu sumber protein dan sayur ditawarkan dengan harga serendah RM5 satu set.

Program ini dikatakan menjadi satu inisiatif baru kerajaan bagi menampung beban kos sara hidup rakyat susulan daripada cadangan beberapa kementerian. 

Ianya dilaksanakan bermula 26 Januari lalu bersama wakil-wakil persatuan restoran. 

Antaranya, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia dan lain-lain.

Tinjauan MalaysiaNow di Mydin Hypermarket Subang Jaya baru-baru ini mendapati hidangan Menu Rahmah yang disediakan oleh pasar raya itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan.

Rata-rata pelanggan yang datang dilihat terus fokus memilih hidangan dan makanan goreng yang dijual.

Sementara itu, kelihatan seorang wanita berpakaian uniform jururawat membawa lambakan bekas makanan set Menu Rahmah hari Rabu berupa nasi, ayam goreng kunyit dan bayam goreng di dalam troli serta beberapa makanan bergoreng lain.

Ketika ditanya, sama ada makanan dengan kuantiti berlebihan tersebut dikirim oleh rakan-rakan sekerja, dia menafikan.

Katanya yang mahu dikenali sebagai Ida memberitahu dia sengaja membelinya dengan kuantiti yang lebih kerana memudahkan urusannya di rumah.

Jelasnya, anak-anaknya yang bakal pulang ke rumah pada jam 4 petang boleh menikmati hidangan tersebut. 

Manakala lebihan beberapa set lagi akan disimpan dalam peti sejuk dan dipanaskan semula untuk makan tengah hari esok.

“Saya pun boleh bawa bekal ke tempat kerja kalau tak sempat masak. Memang mudah kalau beli macam ni. Kalau dah habis (stok), boleh datang beli lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kenyataan Ida sangat ironi dengan keadaan yang dialami oleh Thana di mana dia tidak mampu membelikan set makanan dengan kerap untuk ahli keluarganya.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin  Ameer Ali Mydin memberitahu tiada halangan kepada para pelanggan untuk membeli set-set hidangan Menu Rahmah yang dijual di pasaraya itu dan terbuka kepada semua kelompok pelanggan.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya yakin golongan yang berkemampuan tidak akan mengambil kesempatan terhadap menu yang dijual dengan harga murah itu.

Bagaimanapun, Ida menegaskan, meskipun bergelar penjawat awam dia dan suami masih terkesan dengan beban ekonomi terutamanya tinggal di kawasan yang pembangunannya pesat seperti Subang Jaya.

Atas sebab itu, Ida merasakan amat adil sekiranya dia juga dapat menikmati menu hidangan daripada program tersebut walaupun mempunyai gaji dan status kerja tetap.

Berbeza dengan sekumpulan tiga pelajar universiti swasta dari Kolej Antarabangsa INTI, mereka tidak merasakan perubahan besar melalui hidangan Menu Rahmah kerana sudah banyak kedai makan dan warung yang menyediakan “nasi bajet” untuk makan pagi hingga petang.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata sebelum program itu dilaksanakan, menu lain yang seringkali menjadi pilihan utama pelajar adalah nasi kukus ayam cincang, bubur nasi ayam carik, nasi bujang dan nasi gulai ayam kak wok yang dijual oleh gerai-gerai tepi jalan berdekatan kawasan kolej.

“Selain nasi, ada juga laksa atau mee kari. Semuanya bawah RM5 dan RM6. Tapi tak semewah makan di kedai, lauk-lauknya kurang sedikit.

“Menu Rahmah baik juga, tapi sebelum ni pun dah ada gerai yang tawarkan makanan murah. Bukanlah makanan dalam restoran, cuma warung atau gerai penjaja sahaja.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.