- Iklan -
Berita

Banjir di Bentong terkawal, jalan utama ke Bukit Tinggi masih ditutup

Bagaimanapun jalan utama dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi masih ditutup bagi kerja pembersihan dan baik pulih jalan raya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Banjir lumpur menjejaskan sebahagian kawasan penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik.
Banjir lumpur menjejaskan sebahagian kawasan penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Kejadian banjir berlumpur disebabkan kepala air dan hujan lebat yang menjejaskan sebahagian kawasan penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik, Pahang petang semalam sudah berada dalam keadaan terkawal, kata polis.

Bagaimanapun, jalan utama dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi masih ditutup bagi kerja pembersihan dan baik pulih jalan raya.

Ketika dihubungi, Balai Polis Bukit Tinggi memberitahu pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif untuk ke kawasan tersebut sehingga laluan utama dibuka semula kepada orang awam.

"Jalan itu akan melalui SMK Bukit Tinggi sehingga stesen minyak BHPetrol.

"Pengguna akan menemui satu simpang dan belok ke kanan untuk ke Bukit Tinggi," kata operator balai polis tersebut kepada MalaysiaNow.

Semalam, tular di media sosial menunjukkan video cemas pengguna jalan raya apabila bertembung dengan laluan yang terjejas teruk akibat banjir.

Kebanyakan mereka adalah pelancong tempatan yang melawat kawasan pelancongan di Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Terdapat juga beberapa keping gambar yang tular memaparkan struktur jalan yang pecah dan berlumpur teruk selepas keadaan banjir mulai reda.

Setakat ini, tiada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan dan kemalangan jiwa dilaporkan. 

Sementara itu, komuniti penduduk Bukit Tinggi di media sosial aktif memberikan perkembangan terkini situasi banjir di kawasan tersebut mengatakan hujan lebat masih turun dalam beberapa waktu.

Kenderaan yang terkandas di laluan-laluan terjejas teruk pula sedang menunggu bantuan untuk keluar daripada tempat masing-masing dikhuatiri banjir kilat akan berlaku sekali lagi dalam masa terdekat sekiranya hujan lebat berterusan.