- Iklan -
Berita

Permuafakatan kerajaan jamin kestabilan politik, jana pertumbuhan ekonomi, titah Agong

Ia selari dengan hasrat Sultan Abdullah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti kerajaan campuran membolehkan negara menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat selain dapat mewujudkan kestabilan politik.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ia selari dengan hasrat Seri Paduka untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Seri Paduka yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai perdana menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri kerajaan campuran, turut meminta semua pihak berlapang dada dengan hati terbuka untuk menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan; ihsan dan rahmah.

“Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sultan Abdullah turut mengalu-alukan usaha kerajaan membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif mempercepat mekanisme pemberian subsidi bersasar dalam usaha mendepani cabaran ekonomi global, ketidaktentuan ekonomi pasca Covid-19 serta tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

Seri Paduka juga menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus negara.

Selain itu, Sultan Abdullah menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara.

Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang Syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran.

“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul,” titah Seri Paduka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.