- Iklan -
Berita

Aktivis OKU lantang meninggal dunia

Anthony Siva Balan Thanasayan aktif memperjuangkan hak OKU di tempat awam terutama fasiliti membabitkan golongan itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
OKU yang lantang bersuara, Anthony Siva Balan Thanasayan. Gambar: Facebook
OKU yang lantang bersuara, Anthony Siva Balan Thanasayan. Gambar: Facebook

Aktivis orang kelainan upaya (OKU) yang lantang bersuara, Anthony Siva Balan Thanasayan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur hari ini. 

Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu merupakan OKU sejak lahir dan terpaksa menggunakan kerusi roda sejak berusia 10 tahun.

Beliau aktif memperjuangkan hak OKU di tempat awam terutama fasiliti membabitkan golongan itu.

Anthony juga mengasaskan Reaching Out to Educate the Able-bodied and Care for the Handicapped (Reach) dan Petpositive, sebuah badan bukan kerajaan yang menggunakan haiwan untuk terapi bagi golongan OKU dan warga emas.

Beliau lantang mengkritik beberapa pihak antaranya Ibrahim Ali yang meminta Karpal Singh berdiri dalam Parlimen walaupun bekas pengerusi DAP itu seorang OKU.

Selain itu, beliau turut mengkritik ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, Ruziah Ghazali pada 2019 yang menyatakan, ibu bapa malu antara punca anak OKU tidak didaftarkan.

Baru-baru ini, Anthony turut menyelar pihak yang mahu menggunakan status OKU untuk manfaat politik, dalam insiden membabitkan Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan pada Disember lalu.

Sementara itu, sahabat beliau, Derek Fernandez menyifatkan Anthony sebagai pejuang kerana tekadnya untuk memperkasakan golongan OKU. 

"Beliau mengajar bagaimana untuk melihat daripada perspektif berbeza. 

“Beliau menyedarkan saya bahawa kita semua akan menjadi kurang upaya satu hari nanti," katanya.

Menurut Fernandez, Anthony tidak kisah jika terpaksa bertikam lidah dengan pelbagai pihak termasuklah parti politik, namun semuanya dilakukan dengan jujur dan penuh integriti.