- Iklan -
Berita

Relevankah MCA, MIC dalam 6 PRN akan datang?

Nasib dua parti itu bergantung kepada Umno, mungkin cuma jadi "penyokong tambahan" untuk PH-BN sahaja nanti, kata pemerhati.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Logo MCA di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Logo MCA di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Peranan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai tidak lagi relevan memandangkan kedua-dua parti itu dibayangi DAP dan PKR yang mempunyai sokongan kuat bukan Melayu selepas wujudnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sejak akhir tahun lalu.

Situasi ini sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah nasib kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku di enam negeri tidak lama lagi, memandangkan kesukaran mereka untuk meraih undi daripada pengundi Cina dan India yang kini sudah beralih sokongan kepada PH.

James Chin dari University of Tasmania Australia berpandangan Umno seolah-olah sudah mengabaikan MCA dan MIC sejak tertubuhnya kerajaan campuran PH-BN.

Chin berkata peranan MCA dan MIC bergantung kepada kesungguhan Umno memandangkan parti Melayu itu selama ini yang menentukan peranan mereka dalam BN.

"Walaupun mereka menentang (BN-PH), ia tidak penting kerana DAP dan PKR boleh sapu undi India dan Cina.

"Tidak dapat dipastikan lagi apakah hasil daripada perbincangan BN-PH, tetapi kemungkinan mereka akan berpegang kepada konsep parti yang menyandang kerusi akan dibenarkan meletakkan calon untuk pertahankan kerusi masing-masing," katanya kepada MalaysiaNow.

Bendera MIC berkibar di Kuala Lumpur.
Bendera MIC berkibar di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, beliau menganggap partinya seolah-olah "tidak wujud" dalam BN.

Katanya MIC sehingga kini tidak dipanggil untuk berbincang mengenai perancangan BN berdepan PRN akan datang.

"Bukan saja tidak ada mesyuarat, tetapi nampak seperti kami (MIC) tidak wujud," katanya kepada pemberita dalam lawatan ke Batu Caves pada 5 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarahnya apabila meraih 30 kerusi Parlimen dengan MCA hanya mampu mengekalkan kerusi Ayer Hitam dan Tanjung Piai manakala MIC berjaya mempertahankan Tapah.

Pada 8 Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sekretariat kerajaan menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi PRN.

Anwar berkata, jawatankuasa itu bertujuan memastikan parti-parti terlibat dalam kerajaannya mempunyai tapak kukuh pada PRN nanti.

Pengumuman ini sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada MCA dan MIC akan diberikan kerusi memandangkan kedua-dua parti itu adalah komponen parti BN.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpandangan MCA dan MIC mungkin hanya akan menyertai PRN untuk memberikan "sokongan tambahan" bagi memastikan pengundi memilih calon yang diketengahkan kerajaan campuran PH-BN.

Katanya, "bantuan" ini mungkin dengan harapan mereka dianugerahkan dengan lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam negeri yang berjaya ditawan.

"Nak dapatkan kerusi untuk bertanding mungkin susah bagi mereka (MCA dan MIC).

"Mungkin mereka akan bantu ketika berkempen untuk meraih undi."