- Iklan -
Berita

Tiada rancangan mansuh bayaran balik PTPTN untuk golongan miskin, B40, kata menteri

Rafizi Ramli nafi PH tawar mansuh hutang PTPTN.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin. Gambar: Bernama

Kerajaan tiada perancangan untuk memansuhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk golongan miskin dan isi rumah B40 kerana melibatkan jumlah individu dan nilai peruntukan yang besar, kata Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, berdasarkan anggaran awal PTPTN, cadangan pemansuhan pinjaman bersasar kepada golongan tersebut akan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pemansuhan pelupusan sebanyak RM 42.34 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian terhadap kebajikan melibatkan peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman tersebut melalui pelbagai cara dan inisiatif yang dilakukan bagi memastikan kemudahan para peminjam terutamanya daripada golongan miskin dan isu rumah B40.

“Antaranya, penangguhan bayaran balik sekiranya menyambung pengajian atau belum dapat pekerjaan. Kedua, penstrukturan atau penjadualan balik pinjaman mengikut kemampuan peminjam.

“Ketiga, diskaun pinjaman balik sekiranya dilakukan bayaran balik secara sekaligus dengan penuh. Dan keempat, bayaran balik PTPTN hanya selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian untuk memberi ruang kepada peminjam buat persediaan sewajarnya,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan dari Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad mengenai bilakah program pemansuhan hutang PTPTN bersasar kepada golongan tersebut akan mula diperkenalkan.

“Adakah kerajaan mempunyai iltizam politik untuk benar-benar memansuhkan hutang PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan yang baru-baru ini?” soal Fayhsal merujuk kepada buku “SCRIPT-For a Better Malaysia”, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar Ibrahim untuk mentransformasikan Malaysia.

Buku yang dihasilkan menerusi kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) serta Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan itu meletakkan 36 cadangan dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik PTPTN, khusus untuk golongan B40.

Salinan buku tersebut dilancarkan kira-kira sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, soalan tersebut dibantah keras oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang menafikan PH menawarkan pemansuhan hutang PTPTN.

Katanya, kenyataan bekas timbalan menteri belia dan sukan itu sebagai mengelirukan Dewan Rakyat dan harus dikenakan tindakan.

Sementara itu, Khaled berkata berkemungkinan terdapat parti-parti politik menawarkan manifesto sedemikian dalam musim pilihan raya, bagaimanapun kerajaan sedia ada terdiri daripada kerajaan campuran.

“Jadi, kita ambil keputusan iaitu kita hanya akan ambil mana-mana manifesto yang mempunyai perkara-perkara yang sama ataupun serupa.

“Dan kita dapati semua parti politik (dalam kerajaan campuran) tidak menawarkan semua perkara yang sama apabila berkait dengan hutang PTPTN.”