- Iklan -
Berita

Hanya MACPC boleh ambil tindakan terhadap AirAsia, kata Mavcom

Ini bermakna Mavcom tidak boleh mengambil tindakan terhadap penerbangan yang tidak melibatkan laluan ke atau dari Malaysia kerana itu adalah di luar bidang kuasanya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan AirAsia beratur sambil menunggu giliran untuk mendaftar masuk bagasi ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan itu ke Kuching, Sarawak dan Tawau, Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Kuala Lumpur (klia2), 6 Disember 2021.
Pelanggan AirAsia beratur sambil menunggu giliran untuk mendaftar masuk bagasi ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan itu ke Kuching, Sarawak dan Tawau, Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Kuala Lumpur (klia2), 6 Disember 2021.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tampil menjelaskan agensi itu hanya boleh bertindak mengikut bidang kuasa yang termaktub dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

Ini bermakna suruhanjaya itu tidak boleh mengambil tindakan terhadap penerbangan yang tidak melibatkan laluan ke atau dari Malaysia kerana itu adalah di luar bidang kuasanya.

Mavcom menjelaskan perkara ini sebagai maklum balas daripada artikel MalaysiaNow yang melaporkan mengenai kesukaran penumpang AirAsia untuk mendapatkan kembali bayaran balik tiket penerbangan yang telah dibeli pada tahun lalu.

Salah seorang penumpang itu ialah, Felicity Wilcox, warga United Kingdom yang menetap di Jerman, sepatutnya menaiki penerbangan pada 30 Ogos tahun lalu dari Luang Prabang, Laos ke Bangkong, Thailand.

Disebabkan rasa marah dengan sikap sambil lewa AirAsia, Wilcox nekad membalas setiap ciapan AirAsia di Twitter untuk terus mengingatkan syarikat penerbangan tambang murah itu mengenai duit tiket penerbangannya berjumlah €103 (RM483).

Namun selepas artikel itu disiarkan pada 12 Februari lalu, Wilcox akhirnya berjaya mendapatkan kembali duitnya.

"Akhirnya saya berjaya dapatkan semula duit bayaran balik saya!" katanya yang memuat naik status dalam Facebook.

"Selepas menunggu lebih enam bulan, menghantar ratusan ciapan, menghantar e-mel hampir setiap hari, Mavcom tidak dapat nak membantu.

"Kini saya tidak akan ada apa-apa lagi kaitan dengan AirAsia. Teruskan perjuangan semua. Nilai anda lebih berharga daripada syarikat penerbangan ini."

Seorang lagi penumpang Elvi Yuliani dari Singapura, memberitahu MalaysiaNow dia dihubungi AirAsia menerusi tiga e-mel yang menjanjikan bayaran balik.

"Satu e-mel memaklumkan (transaksi) berjaya dan meminta saya menyemak baki akaun. Mereka tidak pernah minta nombor akaun bank, jadi ke mana perginya? Saya periksa kad kredit pun tiada apa.

"Kemudian satu lagi e-mel memberitahu saya perlu menunggu empat hingga lapan minggu untuk mendapatkan bayaran balik manakala satu lagi e-mel berkata ia akan selesai dalam tempoh tujuh hari bekerja," katanya.

Mavcom hari ini mengesahkan kepada MalaysiaNow agensi itu menerima dan memeriksa aduan daripada kedua-dua penumpang terbabit sebelum memberikan maklum balas dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh aduan masing-masing.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kedua-dua kes itu berlaku di luar negara dan laluan penerbangan tidak melibatkan Malaysia.

"Justeru, kedua-dua insiden penerbangan in tidak termaktub bawah MACPC, memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasa negara lain yang mungkin mempunyai undang-undang perlindungan pengguna berbeza.

"Justeru, ini adalah di luar bidang kuasa Mavcom. Mavcom memaklumkan kepada penumpang yang terlibat pada 1 Januari dan 26 Januari 2023 untuk menghubungi sumber tempahan tiket yang dibuat," jelasnya.

Sebelum ini, Mavcom turut menerima kritikan daripada kebanyakan penumpang AirAsia sama ada tempatan atau dari luar negara kerana tidak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu susulan isu penangguhan dan pembatalan penerbangan serta bayaran balik yang berlaku sejak awal 2020.

Cubaan MalaysiaNow secara berulang kali untuk mendapatkan penjelasan daripada AirAsia berhubung isu-isu ini juga tidak mendatangkan hasil apabila tiada maklum balas diterima.