- Iklan -
Berita

Mampukah anak-anak Najib teruskan dinasti Razak?

Penganalisis berpendapat landskap politik hari ini tidak sama seperti generasi sebelum ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa mengumumkan akan bertanding exco Puteri Umno pada pemilihan parti itu tahun ini. Gambar: Bernama
Anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa mengumumkan akan bertanding exco Puteri Umno pada pemilihan parti itu tahun ini. Gambar: Bernama

Kelangsungan kerjaya ahli-ahli politik yang bakal meneruskan legasi keluarga mereka semakin sukar dalam landskap politik yang semakin mencabar, kata penganalisis.

Ia selepas anak-anak bekas kepada perdana menteri, Najib Razak kini menjadi semakin aktif dalam politik dalam usaha meneruskan legasi politik keluarga mereka yang dimulakan oleh atuk mereka, Abdul Razak Hussein.

Terbaru, anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib mengumumkan akan bertanding exco Puteri Umno selepas Mohamad Nizar Najib menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Iklan -

Selain mereka, Mohammed Taufiq Johari merupakan anak kepada speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul turut memenangi kerusi ayahnya itu di Sungai Petani pada PRU15.

Di sesetengah tempat, pengundi tidak lagi terpengaruh dengan legasi keluarga calon mereka, seperti di Permatang Pauh yang menyaksikan tumpasnya Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah merupakan anak sulung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Politik dinasti bukanlah perkara baru dalam landskap politik Malaysia.

Nooryana dan Nizar umpamanya, ialah generasi ketiga ahli politik selepas bapa dan datuk mereka yang juga perdana menteri kedua.

Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng dan Abang Johari Abang Openg antara generasi kedua yang sempat meningkat naik.

Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar berkata, tindakan meletakkan Nooryana dilihat usaha meneruskan legasi politik datuk mereka.

- Iklan -

Katanya, pada satu perspektif, anak-anak pemimpin ternama ini memasuki politik bukan atas keupayaan masing-masing, sebaliknya dibayangi pengaruh bapa.

Pada satu perspektif lain, pemimpin merasa bangga apabila ada anak-anak yang mewarisi perjuangan mereka.

"Persoalannya, sejauh manakah generasi ini mampu bertahan dalam landskap politik negara yang kini sudah tidak sama lagi dengan zaman bapa atau datuk mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Arus politik sekarang amat ganas yang memerlukan kekuatan daya kepimpinan dan kekuatan mental serta semangat berpasukan yang tinggi.”

Katanya, mereka harus mandiri dan tidak boleh bergantung kepada nama bapa mereka semata-mata.

Ia turut diakui oleh pemerhati politik, Ahmad Zaharuddin Sani Sabri. 

Katanya, sekiranya ahli merasakan anak-anak pemimpin mempunyai potensi, mereka akan diangkat namun jika mereka hanya dilihat menggunakan nama bapa, mereka akan ditolak.

"Harus diingat ketika ini nama Najib Razak tidaklah sehebat mana berbanding ketika beliau berkuasa, jadi agak tipis untuk mereka mempengaruhi mana-mana ahli untuk mengundi anak-anak mereka," katanya merujuk kepada peluang anak-anak Najib dalam Umno.

- Iklan -

Hisommudin berkata, kekuatan akar umbi diperlukan oleh anak-anak ahli politik dan tidak mengharapkan sokongan hanya kerana mereka “terjun dari kayangan”.

"Lihat nasib Hishammuddin Hussein, walaupun bermula gah dalam politik, namun sepak terajang politik boleh berubah sekelip mata,” katanya merujuk kepada Hishammuddin yang juga anak kepada perdana menteri ketiga, Hussein Onn.

"Bayangkan jika tidak cukup ilmu di dada, dalam persaingan tewas, maka yang tercalarnya ialah nama legasi yang dibimbing bersama.”