Pengambilan doktor bukan atas bahu kementerian semata-mata, kata menteri
Kementerian Kesihatan akan terus mengadakan libat urus dengan pihak seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan sebelum membuat pengambilan baharu.
Terkini
Kementerian Kesihatan (KKM) perlu berbincang dengan agensi-agensi kerajaan lain sebelum membuka perjawatan baru dalam usaha menangani kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan sekali gus membantu mengurangkan masalah kesesakan di hospital kerajaan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM akan terus mengadakan libat urus dengan pihak seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan sebelum membuat pengambilan baharu.
"KKM kalau boleh hendak mengambil semua doktor, tetapi kalau perjawatan itu tidak ada, dan kalau kita tidak dapat duit, maka kita tak boleh laksanakan.
"Saya minta juga pertimbangkan ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr Kelvin Yii (DAP- Bandar Kuching) pada sesi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.
Yii bertanya mengenai inisiatif kerajaan untuk menangani isu kekurangan kakitangan di hospital-hospital kerajaan.
Kesesakan di hospital menjadi isu hangat baru-baru ini apabila insiden pergaduhan antara kakitangan dan pesakit di jabatan kecemasan Hospital Serdang tular.
Pesakit itu mendakwa sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini, kerajaan turut berdepan dengan tuntutan daripada doktor-doktor kontrak di seluruh negara untuk diserap sebagai kakitangan sepenuh masa.
Dalam Belanjawan 2022, kerajaan menyambung lantikan lebih 10,000 pegawai perubatan selepas tamat tempoh wajib selama dua tahun kepada empat tahun.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak sebelum ini menyatakan bilangan doktor masih belum cukup meskipun KKM mengumumkan tambahan 4,914 perjawatan tetap ditawarkan pada tahun ini.
Terdahulu, Zaliha ketika menjawab soalan pertama Yii menggariskan tujuh inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
Tujuh langkah itu ialah pengauditan dalaman, pemerkasaan inisiatif Lean Healthcare, projek Short Stay Unit, dan pendigitalan Bed Management Unit (BMU).
Kerajaan turut bekerjasama dengan sektor swasta untuk tujuan outsourcing atau penyumberluaran.
"Waktu menunggu bagi prosedur-prosedur perubatan dan bukan perubatan dapat dikurangkan dan meminimumkan Length of Stay dan Bed Occupancy Rate, sekaligus mempercepatkan aliran pesakit," katanya.
Antaranya punca kesesakan itu katanya ialah peningkatan kes-kes penyakit tidak berjangkit dan komplikasinya, kesan daripada pandemik Covid-19.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.