- Iklan -
Berita

Pertimbang pengeluaran KWSP, moratorium bantu rakyat susah, kata Muhyiddin

Tiada salahnya jika itu kehendak rakyat bagi membantu ringankan beban mereka, kata pengerusi PN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pencarum KWSP hadir di cawangan Bandar Baru Nilai untuk membuat urusan pengesahan online pada sistem aplikasi i-akaun KWSP yang didaftar mereka pada Disember 2020.
Pencarum KWSP hadir di cawangan Bandar Baru Nilai untuk membuat urusan pengesahan online pada sistem aplikasi i-akaun KWSP yang didaftar mereka pada Disember 2020.

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

Beliau berkata ia termasuk mempertimbangkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan.

“Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini,” katanya pada sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berkata bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis, justeru adalah wajar jika bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban akibat kesan inflasi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Sementara itu Muhyiddin berkata dasar mengenai Bumiputera merupakan satu lagi perkara penting yang mesti diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Bekas perdana menteri itu berkata dalam konteks hari ini sebahagian besar daripada golongan B40 yang telah menjadi B60, adalah Bumiputera.

“Sebuah negara majmuk dan berbilang kaum tidak akan stabil dan makmur sekiranya kaum majoriti berada dalam kelompok miskin dan berpendapatan rendah dengan jurang kaya miskin semakin melebar.

Selain itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dengan melakukan semak dan imbang secara konstruktif.

“Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil. Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami tentang,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.