- Iklan -
Berita

Program Dana Jaminan Makanan tak capai objektif, menurut laporan ketua audit

Pengurusan perolehan dan penggunaan peralatan yang kurang memuaskan turut menyebabkan manfaat program itu tidak diperoleh sepenuhnya oleh golongan sasar, katanya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendapati walaupun 78 peratus projek Program Dana Jaminan Makanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjaya disiapkan, program itu tidak mencapai keberhasilan yang ditetapkan.

Menurut laporan berkenaan, keberhasilan projek di bawah program dengan peruntukan RM190 juta itu tidak dapat tercapai sepenuhnya kerana sebahagian daripada 1,248 projek masih dalam fasa pelaksanaan atau belum dimulakan hingga akhir 2021, dan ia menjejaskan sasaran pengeluaran hasil.

Laporan itu turut memaklumkan pengurusan perolehan serta penggunaan peralatan yang kurang memuaskan turut menyebabkan manfaat program itu tidak diperoleh sepenuhnya oleh golongan sasar.

Pengauditan itu melibatkan empat agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut didapati dalam laporan itu yang dikeluarkan hari ini ialah kesemua agensi berkenaan didapati tidak mencapai sasaran hasil pengeluaran dan penerimaan insentif yang ditetapkan semasa tempoh pandemik Covid-19. 

"Secara umumnya, pencapaian objektif Program Dana Jaminan Makanan di bawah Prihatin iaitu memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi dalam tempoh pandemik sukar ditentukan.

"Perkara ini disebabkan sumbangan hasil pengeluaran di bawah program ini adalah sangat kecil dan tidak signifikan kepada pengeluaran hasil dalam negara," menurut laporan berkenaan.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan serta menjamin objektif program tercapai, laporan itu mengesyorkan MAFI melakukan pemantauan pelaksanaan projek secara berterusan di semua peringkat, memastikan peruntukan dibelanja mengikut perancangan serta memastikan peralatan yang dibekalkan digunakan secara optimum.

MAFI dan agensinya turut disarankan untuk menetapkan indikator bagi menilai pencapaian objektif program termasuk yang dilaksanakan secara ad-hoc bagi memastikan program itu berkesan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.