- Iklan -
Berita

Segelintir rakyat pergi luar negara niat jadi ‘scammer’, kata menteri

Mereka enggan pulang dan terus menjalankan penipuan, selepas capai KPI ditetapkan sindiket, kata Saifuddin Nasution.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ada segelintir rakyat sudah maklum akan jadi penipu dalam talian atau "scammer" apabila mendapat tawaran "kerja" dari sindiket. Gambar: Pexels
Ada segelintir rakyat sudah maklum akan jadi penipu dalam talian atau "scammer" apabila mendapat tawaran "kerja" dari sindiket. Gambar: Pexels

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mendedahkan terdapat segelintir rakyat Malaysia yang sengaja pergi ke luar negara untuk bekerja dengan niat untuk menjadi "scammer" atau penipu dalam talian. 

Katanya, kejayaan pihak berkuasa membawa balik mangsa-mangsa yang diperdaya oleh sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara mendapati terdapat beberapa kategori mangsa penipuan yang berbeza. 

Pertama, katanya, mereka memang tertarik dengan tawaran kerja tersebut bagaimanapun ditipu apabila sampai ke negara berkenaan. 

Manakala, kategori kedua pula sudah maklum mereka akan menjadi penipu sebaik sahaja sampai di negara-negara tersebut. 

Apabila mereka berjaya mencapai prestasi yang ditetapkan melalui penipuan mata wang krypto dan "love scam”, mereka enggan pulang dan terus menjalankan penipuan. 

"Ada juga yang sampai sana dan tak capai KPI dan jadi mangsa. Maka dia hubungi kita untuk minta diselamatkan. 

"Ketiga, sebenarnya mereka ini pergi awal lagi untuk berjudi, kemudian kalah dan pinjam (wang) ah long. 

"Kemudian mereka tak dapat balik, hubungi polis minta diselamatkan," katanya dalam sesi jawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Bagi kategori akhir katanya, terdapat mangsa yang pernah diselamatkan dan menghubungi polis minta untuk diselamatkan sekali lagi. 

Menurut Saifuddin, ini membuatkan pihak berkuasa berasa hampa selepas usaha yang sukar dilakukan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa tersebut dilihat hanya disia-siakan. 

Sehingga 26 Januari, polis menerima 262 laporan mengenai 330 rakyat Malaysia terjebak dalam penipuan pekerjaan dan kini terkandas di luar negara dengan 218 orang diselamatkan dan usaha membawa pulang bakinya sedang giat dijalankan.

Modus operandi sindiket kebanyakannya memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya di laman sosial termasuk Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran yang lumayan.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Messenger.

Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan dan setelah tiba di destinasi, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas dan dimusnahkan.

Mangsa akan dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, “scammer”, pelaburan, “love scam” dan penipuan lain.