- Iklan -
Berita

Kes demam denggi di Selangor dijangka meningkat 150%

Setakat 11 Februari lalu, sebanyak 6,870 kes dicatatkan dengan kenaikan sebanyak 141.4% berbanding  tempoh sama tahun lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail sukarelawan melakukan semburan berkala bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur.
Gambar fail sukarelawan melakukan semburan berkala bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur.

Selangor dijangka berdepan peningkatan kes demam denggi sebanyak 150% pada tahun depan jika masyarakat tidak menangani pembiakan nyamuk Aedes dengan serius, susulan peningkatan tinggi kes ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat 11 Februari lalu iaitu Minggu Epidemologi (ME) keenam, sebanyak 6,870 kes dicatatkan dengan kenaikan sebanyak 141.4% berbanding  tempoh sama tahun lepas.

"Dengan jumlah kes denggi hampir 40,000 pada tahun lalu, bayangkan (peningkatan kes pada tahun 2024) jika ia tidak dikawal," katanya dalam sidang media di Shah Alam semalam.

Beliau berkata berdasarkan kitaran demam denggi yang berlaku di Malaysia dalam tempoh 20 tahun, negara ini dijangka akan mengalami peningkatan kes demam denggi yang tinggi bagi setiap empat ke lima tahun.

“Dijangka peningkatan kes yang tinggi akan berlaku pada 2023 atau 2024 selepas kejadian wabak denggi tertinggi pada 2019,” katanya. 

Pada masa yang sama katanya sebanyak 510 lokaliti wabak denggi dikesan di negeri itu pada ME keenam dengan peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding 470 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata dalam tempoh tersebut, daerah Petaling mencatatkan jumlah lokaliti tertinggi iaitu sebanyak 203 lokaliti dengan peningkatan sebanyak 39.8 peratus, diikuti dengan Hulu Langat (120), Klang (82) dan Gombak (69).

Susulan itu, Dr Siti Mariah berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta agensi berkaitan melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) bermula semalam hingga 22 Mac yang berfokus pada empat daerah berkenaan yang mempunyai kumulatif kes denggi tertinggi.

Katanya hampir RM1 juta diperuntukkan bagi operasi itu yang turut melibatkan pemantauan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi  meningkatkan tahap kesedaran dan advokasi masyarakat setempat berhubung pencegahan demam denggi.

Menurutnya, jika sebarang tempat pembiakan nyamuk Aedes dijumpai di sekitar premis atau rumah ketika operasi dijalankan, dikompaun sebanyak RM500 boleh dikenakan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan melaksanakan amalan 10 minit dalam seminggu bagi mencari dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan di sekitar rumah dengan memastikan tiada tempat yang boleh menakung air secara terbuka.