Hujan renyai pada pagi Jumaat itu tidak mematahkan hasrat Awe Wong untuk meneruskan rutin paginya menikmati sarapan di medan selera Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.
Sejak dari usia mudanya di pertengahan 20-an hingga kini mencapai usia 63 tahun, warga emas berketurunan Cina itu tidak gemar bersarapan di kopitiam atau kedai-kedai kopi lain.
Pilihan utamanya adalah teh o halia panas yang dipadankan dengan nasi kerabu, nasi berlauk gulai ikan tenggiri atau laksam.
"Saya jarang pergi jalan-jalan keluar dari Kelantan. Payah (susah) nak makan.
"Setiap hari saya pusing-pusing pasar cari makan. Hari ni laksam, esok nasi.
“Kadang-kadang beli kuih saja di bawah dan balik makan di rumah," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui sewaktu bersarapan dengan cucunya yang berusia 11 tahun di pasar tersebut.
Dia yang menetap di sebuah rumah kedai elektronik di bandar lama Kota Bharu menyifatkan pasar itu sebagai simbol naungan masyarakat Melayu-Islam terhadap penduduk minoriti bukan Islam di Kelantan.
Mesra dipanggil Awe (panggilan atau gelaran lelaki dalam loghat Kelantan) atau nama sebenarnya Wong Wei Foo, pasar itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Ibunya, seorang Cina dari Thailand menjalankan perniagaan borong buah-buahan di bandar Kota Bharu sejak sebelum pasar itu didirikan.
Bapanya pula seorang anak jati negeri Kelantan menjadi pemandu van dan lori sering mengambil upah menghantar buah-buahan serta barangan lain ke pasar-pasar dan kedai runcit.
Isteri dan ibunya sering menghantar buah-buahan termasuk kelapa muda yang sudah dikopek sabut, jambu batu dan mangga dari kebun milik keluarga.
Kini, anak-anak saudaranya mengambil alih kerja itu dan menjadi antara pembekal utama buah-buahan di pasar tersebut.
Disebabkan selalu mundar-mandir di situ, Awe banyak menjalinkan persahabatan dengan penduduk setempat.
Pernah suatu ketika pada zaman mudanya, dia berkawan dengan semua kaum yang berniaga dan berurusan di pasar itu.
Dia pernah bersahabat dengan seorang lelaki India menjual barangan koleksi seperti cincin, keris dan jam antik.
Dia juga berkawan baik dengan Melayu yang menjual ikan dan mengenali ramai orang Siam yang berhijrah ke negeri itu untuk mencari pendapatan.
“Kawan India saya itu hari-hari jual pakai jubah putih, sebab kat tepi pasar ni dulu orang jual baju kemeja-t. Dia beli dan pakai. Sebelah meja dia jual cincin tu ada orang Melayu jual kaset ceramah dan ayat Al-Quran.
“Hari makan hari, kemudian masuk tahun. Dia ikut kawan Melayu itu pergi dengar ceramah Tok Guru (bekas menteri besar, Nik Aziz Nik Mat) di masjid dan masuk Islam. Kawan Siam itu dulu hantar beras pergi Tanah Merah, anak dia umur lima tahun, kami yang tunggu dan jaga.
“Sebelum ada 1Malaysia, kita dah buat dulu, lama dah. Bukan Malaysia sahaja, Siam pun kita jaga,” katanya bersemangat.
Pasar Siti Khadijah terletak di pusat bandar Kota Bharu, Kelantan menjadi pusat tarikan pelancong utama di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak selesai pembinaannya pada 1985.
Sebelumnya dikenali dengan nama Pasar Besar Buluh Kubu, bangunan itu didirikan dengan empat tingkat menempatkan unit-unit komersial di tingkat atas selain ruang legar besar untuk jual beli barangan basah di tingkat bawah.
Selain terkenal dengan barang jualan yang murah, pasar itu juga menjadi simbolik kepada pembangunan ekonomi wanita apabila majoriti usahawannya terdiri daripada kaum hawa.
Sementara Awe menikmati teh o halia panasnya, ruang tingkat bawah juga sama rancak menjual buah-buahan, alat pertukangan, periuk belanga dan mainan kanak-kanak.
Kelihatan sepasang suami isteri muda sedang memilih mainan untuk seorang kanak-kanak perempuan.
Ketika disapa, mereka berkongsi pernah keluar “berdating” di pasar tersebut ketika menuntut pengajian perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Kek Shien dan suaminya berasal dari Kedah gemar menikmati juadah laksa dan nasi kerabu di medan selera pasar tersebut sejak tahun pertama belajar di situ pada 2008.
Selepas tamat pengajian dan mendirikan rumah tangga, kedua-duanya masih datang ke pasar itu untuk menikmati juadah yang sama.
Mereka mengambil cuti selepas sambutan Tahun Baru Cina untuk datang ke pasar itu dan mengimbau kenangan zaman belajar dan bercinta.
Anaknya kini yang berusia lima tahun juga suka menikmati kuih “akok”, sejenis manisan tradisional dari Kelantan.
“Tiada akok yang lebih original dan sedap melainkan di Pasar Siti Khadijah. Dulu kita suka, sekarang anak suka,” katanya.
Tinjauan MalaysiaNow turut mendapati ramai keluarga berketurunan Cina datang ke pasar pada hari tersebut.
Kebanyakannya berada di ruang legar tempat jualan buah-buahan dan kuih muih.
Disebabkan musim sambutan perayaan tersebut masih berjalan, terdapat pelancong dan anak perantauan yang pulang ke bandar raya itu.
Kembali kepada Awe, dia ketawa apabila ditanya adakah benar menetap di Kelantan itu banyak buruk daripada baiknya. Kemudian, dia bertanya cucunya dalam bahasa Melayu:
“Beritahu kakak ni, mak ayah awak duduk mana?”
“Selayang,” jawab kanak-kanak lelaki itu ringkas.
“Beritahu, awak sekolah kat mana? Bakpo (kenapa)?”
“Sekolah (di) Kelantan. Sebab best (seronok).”
Mengulas lanjut, Awe berkata dia sudah banyak bersendirian berbanding menghabiskan masa bersama rakan-rakannya.
Selain menetap dengan anak masing-masing di luar Kelantan, ada juga rakannya yang sudah meninggal dunia.
Atas sebab itu, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk datang ke pasar itu setiap pagi Jumaat untuk mengubati kerinduannya pada kenangan lalu dan rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui.
“Ada masa saya datang beli dan bungkus bawa balik, ada masa saya duduk makan dengan isteri, anak dan cucu.
“Boleh bayar dah, tolong kira untuk kakak ni sekali,” katanya sebelum pulang.