- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh isu kelangsungan Menu Rahmah

Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali yang mengaitkan makanan dari Menu Rahmah dengan risiko mendapat kanser dan autisme.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari.  Gambar: Bernama
Persidangan Dewan Rakyat, 13 Februari. Gambar: Bernama

Persidangan Dewan Rakyat sesi petang bertukar kecoh apabila Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin dari Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kelangsungan kemampuan program Menu Rahmah dalam kalangan peniaga dan pengusaha kedai makan memandangkan kos pengeluaran dan bahan masakan masih tinggi.

Dalam ucapannya, Azman bertanya adakah terdapat perancangan di pihak kerajaan untuk memberikan bantuan kepada peniaga untuk memastikan program itu boleh dilaksanakan secara berterusan.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bersetuju inisiatif tersebut hanya satu bentuk cadangan yang dikemukakan oleh kementerian tanpa saluran bantuan khusus oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Sany menegaskan sekiranya tidak bersetuju dengan program tersebut, jangan menjadi seperti Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali yang mengaitkan makanan dari Menu Rahmah dengan risiko mendapat kanser dan autisme.

Susulan itu, beberapa ahli Parlimen lain bangkit dan turut sama terlibat berperang mulut dalam isu tersebut.

“Kapar buat cerita tak betul,” jerit Sany.

Halimah kemudian bangun menafikan beliau pernah menyebut mengenai perkara itu.

“Apa yang disebutnya itu tidak betul, cuba tengok hansard saya tak ada pun katakan Menu Rahmah ini menyebabkan kanser.”

Kemudian, ahli Parlimen PAS yang lain mempertahankan Halimah, mengatakan Sany tidak memahami apa yang sedang dibahaskan. 

Pertikaman lidah dan kekecohan itu berterusan selama hampir tiga minit sehingga berjaya diredakan oleh Speaker Dewan Johari Abdul yang meminta Azman tidak menerima sebarang celahan dan meneruskan dengan topik lain.

Berucap lebih lanjut, Azman berkata kebimbangan utama ibu bapa buat masa ini adalah menyediakan hidangan kepada ahli keluarga di musim cuti sekolah selama empat minggu jika kerajaan tidak mampu menurunkan harga barang atau menyalurkan bantuan kepada peniaga.

Masih tidak berpuas hati, Sany mencelah mengatakan jika anak ramai maka lebih baik memasak sendiri di rumah dan tidak perlu menghabiskan duit membeli makanan dari Menu Rahmah.

“Memang perlu masak, tapi harga barangan tidak terkawal,” kata Azman.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub memberitahu pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.

Sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada komitmen peniaga secara sukarela menyertainya dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan B40.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.