Kerajaan meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) bagi memastikan kesiapsiagaan maritim dan menjaga kepentingan pertahanan negara supaya tidak diperkotak-katikkan lawan.
Menteri Pertahanan Mohamad Hassan berkata keputusan itu juga selari dengan keputusan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu memandangkan projek tersebut terhenti sejak tahun 2019.
“Kita perlu melihat ke depan, itu sebabnya keputusan untuk meneruskan projek LCS ini dibuat supaya sistem pertahanan negara ini diperkasakan.
“Kita tidak boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa kerana kelemahan-kelemahan kita, maka kawan dan lawan tiada segan silu terhadap kita,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan persoalan seperti “kita nak berperang dengan siapa?” tidak sepatutnya menjadi isu dari mana-mana pihak kerana sistem pertahanan negara mesti berada dalam keadaan siap sedia sepanjang masa bagi segala kemungkinan.
“Persiapan yang rapi perlu sentiasa ada dan kita punya pertahanan negara perlu diperkasakan dan diperlengkap dengan aset-aset yang diperlukan.”
Terdahulu, Kementerian Pertahanan mengumumkan pihaknya terpaksa menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekalkan enam aset Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal LCS kerana mengalami kelewatan dalam pembinaan sejak 2019.
Dengan penerusan pembinaan LCS itu, ia juga akan menyelamatkan kira-kira 1,600 pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan lebih 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera.