- Iklan -
Berita

Pembangkang perlu dibenar masuk sekolah, jabatan kerajaan

Politik negara tidak akan maju jika ahli politik kerajaan terbawa-bawa sikap pembangkang dan mahu balas dendam terhadap pihak tertentu, kata ahli Parlimen Jerantut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Jerantut Khairil Nizam Khirudin. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Jerantut Khairil Nizam Khirudin. Gambar: Facebook

Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan amalan yang melarang ahli politik pembangkang daripada hadir ke majlis-majlis di jabatan kerajaan, sekolah, surau ataupun masjid perlu diubah memandangkan caranya yang lapuk dan tidak mendukung semangat permuafakatan dan keadilan untuk semua pihak.

Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin berkata pengalaman di kawasannya juga banyak kali terdapat program yang ingin dilakukan seperti kunjungan hormat ke jabatan-jabatan kerajaan ditolak.

“Ada arahan-arahan tidak bertulis untuk tidak membenarkannya. Sedangkan kita habis dah tempoh berkempen dan tempoh pilihan raya.

“Rakyat kita bukannya Umno, PAS, Bersatu, bukannya DAP tetapi semuanya adalah rakyat Malaysia,” katanya sebagai menjawab celahan ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan itu katanya, beliau berharap supaya permasalahan itu dapat diselesaikan segera.

Kenyataan Khairil kemudian dipersoal oleh Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin yang bertanya apakah motif kunjungan dibuat ke sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan.

“Adakah ianya bersifat politik atau sebagainya?”

Khairil menjawab pihaknya dijemput oleh pihak sekolah untuk memberikan sumbangan dan tidak pernah berniat untuk masuk ke sekolah secara sembarangan.

“Nak masuk rumah orang ni perlu ada keizinan dan sekolah bagi izin untuk masuk.

“Tetapi tidak dibenarkan (pada) akhirnya. Dibatalkan.”

Beliau menegaskan sekiranya ahli politik kerajaan masih terbawa-bawa sikap pembangkang dan berhasrat untuk membalas dendam kepada pihak tertentu, perjalanan politik negara tidak akan maju ke hadapan.

Katanya, negara dijangka akan berdepan dengan masalah ekonomi yang mencabar pada tahun ini dan tahun depan serta memerlukan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama antara satu sama lain.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.