- Iklan -
Berita

Ramai pencarum terdesak, PN cadang usul tergempar pengeluaran KWSP

Ada segelintir rakyat terpaksa menggadai harta benda untuk teruskan kehidupan, kata Shahidan Kassim.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengeluaran KWSP sebelum ini pasti menyebabkan simpanan untuk persaraan semakin berkurangan. 
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengeluaran KWSP sebelum ini pasti menyebabkan simpanan untuk persaraan semakin berkurangan. 

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Shahidan Kassim mencadangkan usul tergempar bagi membahaskan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Rakyat memandangkan ramai pencarum semakin terdesak akibat masalah kewangan.

Shahidan yang juga ahli Parlimen Arau berkata pengeluaran tersebut adalah dibuat secara bersasar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) yang memperuntukkan bahawa Dewan Rakyat menggesa pengeluaran sejumpah wang KWSP secara bersasar kepada pencarum.

“Pencarum semakin terdesak tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup yang meningkat saban hari.

“Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab ahli Parlimen untuk mengotakan janji bantu rakyat.

“Oleh yang demikian saya merasakan isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana kerajaan perpaduan boleh mengambil langkah yang sama seperti yang dilakukan pada era pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri sebagai perdana menteri,” katanya di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memberitahu usul tersebut tidak akan dibahaskan pada hari ini dan meminta supaya Shahidan mengusulkan kembali cadangan tersebut selepas pembentangan bajet yang dijadualkan dibentang pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata kebenaran mengeluarkan wang KWSP secara bersasar buat ketika ini sudah semestinya menjadi kepentingan utama kepada orang awam.

Ini kerana, para pencarum mengetahui mengenai hak mereka terhadap jumlah wang yang dicarum dalam badan itu.

“Pencarum memerlukan wang caruman hasil titik peluh mereka sebelum sesi persekolahan 20203/2024 yang akan dibuka tak lama lagi,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga memerlukan sejumlah peruntukan yang banyak menjelang musim puasa dan perayaan tidak lama lagi.

Atas sebab itu, Shahidan menegaskan usul tergempar pengeluaran KWSP perlu dibahaskan dalam kadar segera kerana ianya secara jelas melibatkan kepentingan rakyat.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 320,000 pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di dalam KWSP mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.

Pada 10 Februari lalu, kerajaan menegaskan tidak membenarkan wang simpanan KWSP dikeluarkan lagi bagi menjamin masa depan persaraan pencarum.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.